Monday, July 12, 2010

SADA jamin atasi masalah air



KUALA NERANG , 12 Julai :
Masalah air yang berlaku di beberapa kawasan dalam daerah ini bakal selesai apabila pelan perancangan meningkatkan kapasiti air di loji yang giat dilaksanakan akan disiapkan sepenuhnya Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, berkata, berdasarkan pertemuan dan perbincangannya dengan Ketua Eksekutif Sada, Datuk Adzmi Din bulan lalu satu penjelasan mengenai masalah air dibincangkan antara kedua pihak.


Menurutnya, Sada memberi jaminan bahawa masalah air yang dihadapi masyarakat di beberapa kawasan dalam daerah ini dan Kedah amnya, akan diselesaikan apabila projek menaik taraf loji air terpilih dan laluan paip siap dilakukan.

“Tumpuan untuk mengatasi masalah air di negeri dan daerah ini dijalankan dengan serius di semua daerah. Projek yang sedang berjalan di daerah berhampiran melibatkan kawasan Pendang akan membantu menyelesaikan masalah air di sekitar kawasan Naka, Lamdin, Kubang Julok dan sekitarnya.

“Projek giat dilaksanakan sekarang adalah pembinaan loji dan laluan paip di kawasan Padang Sanai Baru berkapasiti 50 juta liter sehari untuk kemudahan masyarakat dan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Nasir berkata, projek loji dan laluan paip bernilai RM50 juta meliputi kawasan Padang Sanai, Kubang Pasu, Sintok dan Bukit Kayu Hitam akan mampu menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan terlibat.

Menurutnya, projek menaik taraf bekalan air untuk keselesaan rakyat sedang dilakukan membabitkan membekal, pemasangan paip dan membina tangki dengan kos RM30.8 juta melibatkan sebahagian di kawasan Pendang sekali gus membantu menyelesaikan masalah air dalam daerah ini.

Terdahulu, Sinar Harian siaran 3 Jun ada melaporkan keadaan penduduk di beberapa kawasan dalam daerah ini khususnya di pedalaman yang mengalami kesulitan mendapatkan bekalan air sehingga terpaksa bersusah payah mengangkut air untuk kegunaan harian.

Nasir berkata, program untuk Projek Rancangan Malaysia ke 10, bekalan air di Padang Terap adalah melibatkan projek membina muka sauk (pam air mentah) berkapasiti 50 mld, rumah pam dan pemasangan paip bagi membantu penduduk mengatasi masalah bekalan air.

“Projek ini akan dimulakan pada tahun ini dengan melibatkan pemasangan paip dari Padang Sanai ke Kota Putera, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam. Projek ini akan akan membantu masalah kekurangan bekalan di kawasan sekitar itu dan juga beberapa kawasan dalam daerah ini,” katanya.SH

No comments: