Monday, July 12, 2010

Kerajaan Kelantan tidak berhutang bayar gaji kakitangan



















RANTAU PANJANG, 12 Julai :
Kerajaan PAS Kelantan mampu membayar gaji kakitangannya tanpa berhutang daripada mana-mana pihak, kata Timbalan Pengerusi Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun.

Menurutnya dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak mampu membiayai gaji kakitangannya jika dapat memerintah negeri ini adalah tidak benar.


"Kita (kerajaan negeri) masih mampu membayar gaji kakitangan walaupun mentadbir negeri ini dalam tempoh 20 tahun ini, tanpa perlu berhutang daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan Pusaat," katanya kepada Bernama di sini.


Katanya perbelanjaan mengurus atau emolumen kerajaan negeri masih mencukupi untuk menampung membiayai gaji kakitangan walaupun mengalami perbelanjaan defisit setiap tahun.


"Cuma kerajaan negeri menghadapi masalah perbelanjaan pembangunan yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan pusat," katanya.


Beliau berkata, dakwaan pemimpin parti politik pembangkang sebelum pilihan raya 1990 kononnya kerajaan negeri hanya mampu membayar gaji kakitangannya dalam tempoh tiga bulan adalah tidak benar.


Abdul Fatah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata kerajaan boleh menggunakan peruntukan daripada mana-mana wang yang disatukan jika menghadapi masalah sumber kewangan untuk menampung pembiayaan gaji kakitangan.


"Jadi setakat ini tidak timbul soal kerajaan negeri tidak mampu membayar gaji kakitangan dalam tempoh tertentu seperti dakwaan sesetengah pemimpin parti politik," katanya.


Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku berkata kerajaan negeri akan lebih bernasib baik jika berjaya dalam tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

No comments: