Thursday, July 22, 2010

Kelulusan dibatal tanpa notis


GERIK , 22 Julai : Dewan Pemuda PAS (DPP), di sini melahirkan rasa tidak puas hati apabila kelulusan untuk menggunakan Dewan Serba guna Felda Bersia dibatalkan tanpa sebarang notis.

Ketua Penerangan DPP Kawasan Gerik, Umair Zakuwan Khalid berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan pada 30 Jun lalu bagi mengadakan ceramah perdana.


Menurutnya, pada awalnya permohonan itu diluluskan oleh pihak pengurusan Felda Bersia, namun dibatalkan selepas itu.

“Pada awalnya, pihak pengurusan Felda Bersia membalas surat permohonan kami pada hari sama untuk membenarkan kami menggunakan dewan itu.

“Kami juga sudah membayar sewa dewan itu sebanyak RM100 dan deposit pembersihan dewan RM100 setelah mendapat kelulusan, namun pada 15 Julai lalu, kebenaran itu ditarik balik oleh pihak pengurusan Felda Bersia,” katanya ketika ditemui di Markaz PAS Kawasan Bandariang, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Gerik, Mohd Noor Abdul Rahman.

Umair Zakuwan berkata, kini DPP Kawasan Gerik sedang berbincang dengan peguam kerana berkemungkinan perkara itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Diharap pihak PAS Kawasan Gerik akan menuntut kembali wang deposit dan sewa penggunaan dewan yang dibayar sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Felda Bersia berkata, keputusan menarik balik kelulusan itu adalah keputusan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Bersia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Felda Bersia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana masa penganjuran tidak bersesuaian berikutan bukan musim pilihan raya dan dikhuatiri ceramah itu akan menjadi medan untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memburukkan pihak pengurusan Felda serta pemimpin.SH

No comments: