Thursday, July 22, 2010

Mufti Perak dinasihat sertai Umno



KUALA TERENGGANU , 22 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mencabar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meletak jawatan dan menyertai politik untuk menjayakan pandangan beliau bagi menyatukan PAS-UMNO.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah mendakwa, Harussani patut mengambil keputusan sedemikian bagi menunjukkan tanggungjawabnya memandangkan hanya dengan memiliki kuasa politik, penyatuan itu boleh berlaku.


Melalui politik juga katanya, Harussani dapat menetapkan pendirian beliau sama ada cenderung kepada UMNO atau PAS.


“Kalau beliau benar-benar ikhlas, saya minta terlibat dengan politik. Dia kata tidak berpolitik tetapi sebenarnya dia lebih berpolitik,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Harussani mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.


Namun, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti UMNO dan PAS.


Mohd Nor turut memberitahu bahawa pihaknya sebelum ini tidak bersetuju dengan beberapa pandangan Harussani iaitu berhubung kalimah Allah serta percanggahan pendapat dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung pengharaman ESQ.


Beliau mendakwa, Harussani juga masih belum menyelesaikan masalah Melayu murtad yang dinyatakan sebelum ini walaupun menyandang jawatan mufti.


“Isu murtad boleh diselesaikan sekiranya beliau mempunyai kuasa politik,” katanya.
SH

No comments: