Friday, August 20, 2010

Buang anak krisis nasional



KUALA SELANGOR, 20 Ogos : Berdepan dengan gejala pembuangan bayi dan anak luar nikah yang semakin berleluasa ini, semua pihak mesti menghentikan tabiat menuding jari terhadap satu sama lain.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, satu pendekatan lebih berkesan perlu disegerakan melibatkan satu pasukan yang mempunyai satu rangkaian seluruh negara digerakkan segera dengan sejumlah dana yang munasabah untuk mampu ditangani secara berkesan dan berterusan.


“Sehingga kini belum ada satu badan dari mana-mana kementerian ditubuhkan dan ditetapkan secara lebih terfokus.

“Disaran pasukan yang ditubuhkan wajar daripada pihak berwajib di semua peringkat dari akar umbi pimpinan kampung, daerah, jabatan negeri dan pusat,” katanya kepada Sinar Harian dalam kenyataannya.

Beliau berkata, bersedia mengakui kewujudan gejala tersebut sampai ke peringkat yang parah dan darurat lantas perlu diiktiraf segera sebagai krisis nasional yang memerlukan pelan tindakan menyeluruh bagi menggembleng tenaga semua pihak.

“Pelbagai faktor yang bertindak serentak, mengakibatkan golongan pelaku berisiko tinggi (remaja dan pelajar sekolah) tergalak melakukannya, sehingga kadar kejadian melonjak ke paras yang membimbangkan.

“Antara yang mencetuskan gejala bertindak tanpa sebarang kekangan untuk satu jangka waktu yang lama ialah pendidikan agama dan bimbingan moral yang longgar, kebebasan pergaulan tidak terbatas dan pengawasan serta pemantauan ibu bapa dan keluarga yang tidak dititikberatkan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, beberapa langkah bersepadu dalam dua pendekatan iaitu mencari dan menyelamat secara intervensi dan mendidik dan mencegah secara proaktif dan preventif perlu dilakukan.

“Bagi menjayakan kedua-dua pendekatan ini, kita perlu penggemblengan semua pihak. Paling munasabah Kementerian Kebajikan bergandingan Pelajaran mesti mengambil tanggungjawab utama.

“Kerajaan Negeri dan Pusat harus berganding bahu dalam menangani masalah ini. Sejumlah dana yang munasabah mesti diperuntukkan bagi melaksanakan usaha ini secara lebih bersungguh dan berkesan,” katanya.SH

No comments: