Friday, August 20, 2010

Kerajaan Pulau Pinang usaha pertahan permukiman tanah rakyat


















PETALING JAYA, 20 Ogos: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang komited mengadakan forum tanah demi mempertahan hak permukiman turun-temurun orang-orang Melayu, Cina dan India atas tanah bukan milik mereka, kata Lim Guan Eng.

Tetapi, Ketua Menteri itu berkata, forum tersebut diadakan secara kecil-kecilan sebagai langkah berhati-hati dengan inisiatif pemaju atau pemilik tanah yang acap kali menggunakan perintah mahkamah untuk mengusir mereka yang terbabit.

"Saya pun telah berjumpa dengan penduduk-penduduk yang terjejas, tetapi kita tak buat secara besar-besaran kerana ada perintah mahkamah."

"Kalau boleh kita tak mahu rakyat dilayan begini, perintah mahkamah ini bukan kerajaan negeri yang halau, perintah mahkamah yang halau mereka," ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP pada satu wawancara eksklusif dengan Harakahdaily petang semalam.

Difahamkan, tanah-tanah mukim terbabit antaranya Kampung Mutiara dan Kampung Cetti (di Batu Feringghi), Kampung Sungai Tumai, Kampung Dodoi, Kampung Sungai Pinang, Kampung Pokok Asam, tanah Jelutung, Jalan Lembah Permai, Kampung Said @ Koci (di Kelawai) dan tanah Tanjung Tokong.

Sehubungan itu, beliau yang memegang port folio Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Keusahawanan, Penerangan dan Warisan mempersoal tanggungjawab pemaju dalam permukiman rakyat yang lebih dua generasi di beberapa tanah terbabit.

"Kita kena berhati-hati agar tidak masuk perangkap mereka, macam mana rakyat nak hadapi pemaju kalau mereka guna perintah mahkamah untuk mengusir rakyat," ujarnya yang juga Adun Ayer Puteh.

Pun begitu, beliau berkata, pentadbirannya telah pun berusaha campurtangan dengan membantu rakyat terbabit mendapatkan perintah mahkamah demi menangguhkan inisiatif pemaju sebagaimana yang berlaku di Kampung Pokok Asam.

"Kalau kita (kerajaan negeri) tidak masuk campur, sudah lama mereka ini diusir dengan perintah mahkamah."

"Kita masih mencari jalan, kita minta pemindahan penduduk di Kampung Pokok Asam ini ditangguhkan, kalau boleh lebih lama bukannya tiga bulan ini saja."

Walaupun demikian, beliau menegaskan inisiatif kerajaan negeri bukanlah untuk bersengketa dengan para pemaju terbabit.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri mahu suatu ketetapan yang adil dalam rancangan pembangunan tanah bermukim tersebut.

"Kita tidak mahu pemaju rugi walaupun kita juga mahu rakyat dapat pampasan yang munasabah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Bercakap tentang polisi pembangunan tanah serta penstrukturan permukiman rakyat di Pulau Pinang, beliau berkata, kerajaan negeri boleh bersetuju dengan rancangan pihak pemaju tertentu sekiranya rakyat diberikan pampasan yang munasabah.

Katanya lagi, kerajaan negeri sebenarnya lebih menggalakkan pemaju membangunkan tanah-tanah baru, termasuk dengan menambak laut walaupun kerajaan negeri sedar bahawa tanah-tanah tidak bermukin adalah terhadap di negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu.

Pun begitu, Umno dan media-media pro Barisan Nasional sebelum ini masih lagi meniupkan semangat perkauman ekstrem supaya kerajaan negeri dilihat tidak profesional dan saksama.

"Kalau kerajaan negeri sendiri nak buat pembangunan, kita tak mahu usik tanah yang sudah diduduki penduduk-penduduk, kita nak bangunkan tanah-tanah kosong atau tambak laut," tegasnya.

Beliau turut mendedahkan demografi bangsa di kawasan permukiman terbabit.

"Di Jelutong, kawasan yang terjejas ada lapan, dua kawasan Melayu dan enam kawasan yang lain bukan Melayu," jelasnya sambil menolak dakwaan Umno bahawa pentadbirannya adalah cuavinis dan anti Melayu.

"Umno selalu cakap yang terpinggir hanya orang Melayu saja tetapi lebih 75 peratus yang terbabit sebenarnya orang Cina juga sebab dia mahu rakyat tidak bersatu dan terus sokong dia (Umno)."

Difahamkan, lebih 90 peratus dan 75 peratus orang Cina yang lain masing-masing turut bermukim di Kampung Ceti dan Kampung Jelutong, manakala lebih 75 peratus masyarakat India bermukim di Kampung Pokok Asam.

Turut difahamkan, tanah-tanah terbabit yang berbaki pula didiami oleh masyarakat Melayu dan bangsa-bangsa lain.

"Semua ini sengaja ditenggelamkan oleh Umno supaya orang-orang Melayu boleh dikelirukan lagi, mereka boleh rampas kerajaan negeri dan teruskan politik pecah dan perintah," beliau menambah.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang wajar menolak politik perkauman yang dijangka bakal ditiupkan Umno dan BN pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Mereka tentu akan tiup semua ini, mereka sanggup melakukan apa sahaja utetapi rakyat mungkin menolaknya," ujarnya lagi.hrkh

No comments: