Friday, August 20, 2010

Pengetua rasis perlu diambil tindakan

JOHOR BAHRU, 20 Ogos: Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad (gambar) meminta tindakan yang bersesuaian diambil terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor.

Ianya kerana pengetua tersebut telah mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan telah menyinggung perasaan ramai pihak.

Mahfodz berkata, Kementerian pelajaran perlu meneliti kenyataan itu sehingga ianya mendapat liputan media.

"Kementerian harus lakukan siasatan yang serius berkenaan apa yang dikatakan itu sehingga keluar di media.

"Kalau dia memang cakap perkara yang bertentangan dengan perlembagaan, saya harap ada tindakan yang bersesuaian dengan apa yang dikatakan itu kerana boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang bukan Melayu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Siti Inshah Mansor sebelum ini dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar cina "tidak diperlukan" dan perlu pulang ke Cina manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka.

Beliau turut menyamakan gelang keagamaan itu seperti rantai anjing pada satu perhimpunan menyambut hari kemerdekaan peringkat sekolah pada 12 Ogos lalu.

Ekoran kenyataan itu, 17 laporan polis telah dibuat terhadap beliau.

Tindakan itu dilihat sekali lagi mengulangi kesilapan menghina yang pernah dilakukan bekas ketua bahagian Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail dan juga oleh bekas pegawai khas perdana menteri Datuk Nasir Safar.

Mahfodz juga berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan timbulnya masalah perkauman di kalangan pelajar.

"Dakwaan ini perlu kepada siasatan segera supaya tidak menimbulkan masalah perkauman," katanya.

Tambahnya, tidak wajar bagi seorang pengetua yang beragama Islam dan berbangsa Melayu mengeluarkan kenyataan sedemikian di hadapan pelajar-pelajarnya.

"Tidak wajarlah pengetua bercakap begitu di perhimpunan sekolah yang menyentuh agama bangsa lain," katanya.

Jelasnya juga, Islam sendiri menekankan persaudaraan antara kaum dan tidak membenarkan kenyataan yang tidak menghormati orang bukan Islam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom Rabu lalu menyatakan dakwaan itu hanyalah salah faham dan perkara itu telah diselesaikan.

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan provokasi yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali.hrkh

No comments: