Sunday, August 29, 2010

Pilih kasih isu



ALOR SETAR , 30 Ogos : Satu notis yang jelas berhubung adab memasuki masjid atau surau perlu dikeluarkan sebagai rujukan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama, Pelajaran dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, notis berkenaan penting bagi mengelakkan isu kesucian masjid dan surau dinodai, berulang lagi.

“Kerajaan Pusat atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mengeluarkan satu notis, yang memaklumkan kepada individu yang ingin memasuki masjid atau surau di negara ini, diwajibkan menutup aurat.

“Dengan itu, barulah masyarakat bukan Islam akan mengetahui adab-adab sebelum menjejakkan kaki ke masjid atau surau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching yang didakwa ‘bertazkirah’ di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Menurutnya, kewajipan menutup aurat hanya kepada orang Islam dan Nie Ching memasuki surau berkenaan sebagai memenuhi jemputan daripada jawatankuasa surau terbabit.

“Saya nampak wujud unsur pilih kasih dalam isu ini kerana ada kalangan isteri menteri yang beragama Islam memakai tudung tetapi tidak menutup aurat sewaktu menghadiri majlis di masjid, sedangkan tuntutan menutup aurat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam.

“Justeru, satu notis atau garis panduan perlu dikeluarkan agar semua individu, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, diwajibkan menutup aurat sebelum melangkah ke masjid dan surau, bukan hanya memakai tudung yang masih memperlihatkan rambut masing-masing,” katanya.SH

No comments: