Sunday, August 29, 2010

Zainudin Maidin diberi tempoh tiga hari





























KUALA LUMPUR, 30 Ogos:
PAS memberi kata dua kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik cerita fitnah terbarunya terhadap PAS atau berdepan saman.

Ianya ekoran kenyataan Zainuddin yang mendakwa semasa Tragedi 13 Mei 1969, PAS minta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

Beliau membuat kenyataan tersebut dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat Pas" bersama umno-online.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang-orang Cina dan rakyat keseluruhannya.

"Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat," katanya.

Menurutnya, Umno sudah sinonim dikaitkan dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan propaganda jahat demi survival politik mereka yang kini tertekan dengan penolakan bukan Melayu di negara ini.

Tuduhan bahawa PAS menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga kata Idris, sengaja direka bagi menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

"PAS yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukan PAS dan sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka.

"PAS menuntut Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk membuat laporan Polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau," katanya.hrkh

No comments: