Wednesday, September 1, 2010

Harapan pada Ismail


SHAH ALAM, 2 Sept. :
Pakatan Rakyat (PR) berharap pemilihan Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Musa Hassan adalah satu permulaan yang baik dalam kepolisan hari ini.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya amat berharap polis lebih menumpukan masalah jenayah yang dilihat semakin merudum melanda negara akhir-akhir ini.

"Dengan adanya pelantikan baru ini, kebajikan rakyat diharap dapat dikembalikan dengan memastikan kurangnya kadar kes jenayah setempat.


"Semoga kepimpinan baru ini lebih terbuka dengan PR dan bekerjasama memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berharap prestasi dan integriti pasukan polis dipertingkatkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan di negara ini.


"Masalah seperti pendatang haram dan jenayah setempat hendaklah ditangani segera dengan lebih berkesan serta menunjukkan keadilan yang ketara," katanya.


Manakala Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, pelantikan ini diharap dapat menunjukkan satu anjakan yang memberi peluang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar daripada imej sekarang.


"Kami berharap dengan adanya pelantikan baru ini, polis lebih berani menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi tanpa mengira latar belakang penjenayah.


"Ismail Omar juga perlu meneruskan dasar yang ditinggalkan dan belum diselesaikan Musa sebelum ini," katanya.
SH

No comments: