Wednesday, September 1, 2010

Jauhi tabiat buruk Little Napoleon











GEORGETOWN, 1 Sept. : “Mahu tak mahu, suka tak suka kita juga mesti menjauhi diri daripada tabiat buruk Little Napoleon yang merugikan rakyat,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, kerajaan negeri telah mendedahkan muka dan wajah seorang Little Napoleon di negeri ini yang angkuh, menyalahgunakan kuasa tanpa merujuk kepada undang-undang dan tidak menghormati prinsip demokrasi.

Justeru, beliau mengingatkan kakitangan negeri bahawa urustadbir CAT, yang telahpun dipuji oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul Transparency International, mestilah mendukung demokrasi, integriti, moraliti awam dan kerajaan rakyat selain memupuk perpaduan rakyat Pulau Pinang yang tinggal bersama dalan suasana penuh harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Sekiranya Pulau Pinang berjaya mencapai taraf antarabangsa, maka imbuhan ahli perkhidmatan awam pun mestilah capai taraf antarabangsa,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan di Komtar, di sini, pagi ini.

Sebagai galakan ke hala tuju itu, beliau mengumumkan bahawa pemberian bantuan khas kewangan ataupun ‘duit raya’ sebanyak RM500 kepada pegawai perkhidmatan awam di pentadbiran negeri.

Di samping itu, buat kali pertamanya bantuan sebanyak RM250 untuk guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

“Ini adalah satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pegawai dan anggota pentadbiran negeri terhadap perkhidmatan masing-masing yang melibatkan 20 jabatan negeri,” ujarnya.

Beliau mengharapkan pembayaran itu nanti dapat meringankan beban pegawai kumpulan sokongan khasnya dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

Namun begitu, beliau menasihatkan kakiatangan supaya mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berpatutan.

Beliau berkata, bantuan khas itu juga dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Perbadanan Bekalan Air (PBA); Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI);

Katanya, pemberian bantuan khas sebanyak RM500 itu melibatkan sejumlah 3,700 pegawai dan kakitangan jabatannegeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.85 juta sementara pemberian kepada 1,396 guru Kafa melibatkan RM349,000.

“Sekiranya kita mengambilkira semua pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun negeri dan agensi negeri, ianya melibatkan RM5.2 juta,” jelasnya.

Menurutnya lagi, walaupun pengumuman yang dibuat selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 Ogos lalu bantuan itu adalah hanya RM400, namun tindakan awal kerajaan negeri telah berjaya mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan yang mengikut jejak langkah dengan mengumumkan duit raya RM500.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menaikkan amaun bantuan kewangan tersebut selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM500,” ujarnya lagi.hrkh

No comments: