Wednesday, September 1, 2010

Pemimpin Umno patut ikuti kursus agama


SHAH ALAM , 2 Sept. : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari bersedia menganjurkan kursus agama buat pemimpin UMNO.

Menurutnya, ia bagi memastikan pemahaman dan penghayatan agama Islam di kalangan pemimpin parti itu dapat dilaksanakan.


Katanya, beliau akan menganjurkan kursus berkenaan pada bila-bila masa sekiranya mendapat maklum balas positif daripada pemimpin UMNO.

“Saya selaku Pengerusi Biro Pemahaman dan Penghayatan Agama PKR sanggup beri kursus agama secara percuma buat pemimpin UMNO pada bila-bila masa.

“Tawaran ini bukan main-main sebaliknya saya mahu menganjurkannya demi melihat pemahaman dan penghayatan agama Islam dilaksanakan di kalangan pemimpin UMNO,”katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Hari Raya, di sini kelmarin.

Pada masa sama, beliau mengajak pemimpin UMNO untuk bersama-sama mengimarahkan institusi surau dan masjid yang ada di negeri ini.

Katanya, melalui cara itu isu perpaduan orang Melayu dapat diselesaikan.

“Jika mereka (pemimpin UMNO) benar-benar mahu menjaga kesucian surau dan masjid di negeri ini, marilah kita mengimarahkan dan bersembahyang berjemaah bersama-sama.

“Bukannya hanya tahu melatah dan politikkan isu surau dan masjid. Melalui langkah ini juga, secara tidak langsung perpaduan di kalangan orang Melayu dapat diselesaikan,”katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan seramai 300 orang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak yatim dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima hamper dan sumbangan wang tunai berjumlah keseluruhan RM30,000.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi yang menyelubungi Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, Yaakob berkata isu itu sengaja diperbesarkan UMNO.

Katanya, isu itu bertujuan menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-90 telah memutuskan bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat izin pengurusan masjid dan menjaga tingkah laku serta tidak mencemarkan kesucian masjid.

“Saya juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz bahawa di Malaysia, fikiran dicemari sentimen politik kepartian sehingga kita lupa kepada prinsip asas agama Islam itu sendiri,”katanya.SH

No comments: