Monday, December 27, 2010

Himpunan peminjam PTPTN

PTPTN : Dewan Pemuda PAS Rancang Perhimpunan Selami Masalah Peminjam

KUALA LUMPUR 27 Dis. : Dewan Pemuda PAS Pusat merancang untuk mengadakan perhimpunan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN bagi mendapatkan input mencari jalan penyelesaian berhubung masalah pembayaran balik pinjaman agensi itu.

Perhimpunan itu dijadual untuk diadakan di ibu negara awal Februari tahun hadapan.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat berkata, perhimpunan itu diadakan untuk mendengar sendiri punca masalah dan cadangan daripada peminjam, kepada agensi PTPTN.

Suhaizan berkata beliau difahamkan, peminjam-peminjam yang gagal menyelesaikan pinjaman bukan enggan membayar, tetapi mereka berhadapan dengan pelbagai masalah dan ada dikalangan mereka yang sukar mendapat perkerjaan, kos hidup yang agak tinggi dan banyak lagi.

Justeru, pihak Pemuda PAS ingin mengenalpasti senarai masalah dan cara-cara bagi membantu golongan ini.

PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM37 bilion kepada pelajar sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga bulan lepas.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata, seramai 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke intitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah menerima manfaat daripada pinjaman berkenaan.

Bagaimanapun, daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya 77 peratus pelajar yang membayar balik pinjaman selepas mereka menghabiskan pengajian.

Seramai 191,262 peminjam pula tidak pernah membayar balik pinjaman walaupun telah diberikan beberapa kali peringatan termasuk notis saman.

Bagi tahun ini, PTPTN mensasarkan menerima bayaran balik berjumlah RM5 bilion, namun setakat bulan lepas, pihaknya hanya menerima RM4.8 bilion.

"PAS harap dapat kumpul senarai masalah dan cadangan sebelum Akta PTPTN dipinda tahun depan," katanya.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, pihaknya bercadang mengadakan perhimpunan pada bulan Februari sebelum Parlimen menyambung persidangannya Mac depan.

No comments: