Thursday, December 16, 2010

Jangan ubah laluan Lebuhraya Bestari

Lebuhraya Bestari : Shaziman Diingatkan Tidak Mungkir Janji


























SHAH ALAM, 16 Dis. : Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor diingatkan supaya tidak mengubah laluan pembinaan Lebuhraya Bestari di Pandan Indah seperti yang dipersetujui ketika mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 25 November lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kementerian sebelum ini telah bersetuju dengan cadangan alternatif supaya tidak ada perubohan rumah dilakukan untuk membina lebuhraya tersebut.

" Saya difahamkan Menteri Kerja Raya akan melawat Taman Bakti esok maka oleh itu saya hendak mengingatkan beliau agar tidak akan mengubah laluan lebuhraya yang telah dipersetujui di antara kerajaan negeri sekarang dan LLM pada mesyuarat MTES itu.

" Kerajaan Negeri Selangor tidak akan bersetuju sebarang cadangan baru untuk merobohkan 80 buah rumah di Taman Bakti, Ampang bagi membina Lebuhraya Besraya yang baru dari Sungai Besi ke Pandan Indah," jelas Iskandar dalam kenyataan medianya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam mesyuarat bersama MTES sebelum ini membentangkan cadangan alternatif yang tidak melibatkan perobohan rumah dan dipersetujui oleh kerajaan negeri.

" Sebelum itu saya dan penduduk tempatan telah membantah cadangan asal yang melibatkan perobohan rumah.

" Cadangan asal itu telah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di Selangor. Walau bagaimanapun, kerajaan sekarang telah mengarahkan LLM membentangkan cadangan alternatif kepada MTES," jelasnya lagi.

Justeru beliau sekali lagi mengingatkan agar persetujuan yang dicapai di antara LLM dan kerajaan negeri itu akan dipatuhi.

No comments: