Monday, December 20, 2010

Kempen Selamatkan Parlimen

PR perlu gerakkan 'kempen selamatkan Parlimen'

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/06/07/Mahfuz%20Omar.jpgKUALA LUMPUR, 21 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan seluruh pemimpin Pakatan Rakyat di setiap peringkat menggerakkan 'kempen menyelamatkan institusi Parlimen' yang didakwa telah disalahguna.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, gerakan itu perlu dibuat segera bagi menyelamatkan Parlimen dari digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita perlu selamatkan institusi ini dan PAS perlu mainkan peranan utama.

"Jika tidak dilakukan segera, banyak lagi pencabulan akan berlaku dan dibimbangi parlimen bukan lagi tempat membela nasib nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penggantungan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat minggu lalu.

16 Disember lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (Bukit Gelugor), Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Sivarasa Rasiah (Subang), digantung dari menghadiri sidang dewan rakyat selama enam bulan kerana didakwa menghina dewan berhubung isu Apco.

Bagi Mahfuz, penggantungan itu jelas melanggar proses keadilan apatah lagi semua yang tertuduh tidak diberi ruang membela diri sebelum keputusan dibuat.

Beliau berpandangan, apa yang berlaku itu juga secara jelas menunjukkan kepentingan politik Umno mengatasi kuasa parlimen melalui Speaker dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Malah lebih dikesali katanya, tindakan tersebut juga telah mencemarkan bukan sahaja nama baik parlimen itu sendiri malah juga mencemarkan nama baik Yang Dipertuan Agong.

"Insiden ini telah mencemarkan nama baik Yang Dipertuan Agong yang mana kedudukan Tuanku adalah paling tinggi dalam institusi Parlimen," katanya lagi.

Dalam pada itu, isu penggantungan keempat-empat anggota parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus dibidas semua pihak.

Pakar Perlembagaan, Professor Dr. Abdul Aziz Bari dalam temubualnya bersama Harakah memberitahu, apa yang berlaku dalam insiden penggantungan di parlimen itu tidak ubah seperti 'Mahkamah Kangaroo'.

Baginya, kesemua tertuduh sewajarnya diberi peluang untuk menjelaskan kedudukan mereka sekaligus membela diri.

"Pelik betul, hendak mendengar penjelasan itu pun BN takut.

"Apa yang speaker takutkan, apa bahayanya mendengar apa yang Anwar Ibrahim hendak katakan," katanya.

No comments: