Saturday, December 11, 2010

Rasuah pekat, kerajaan Umno BN wajib ditukar



























KUALA LUMPUR, 11 Dis. : Kerajaan Umno Barisan Nasional perlu ditukar kerana sudah tebal dengan korupsi dan ketidaktelusan walaupun pelbagai tranformasi dan rancangan diumumkan.

Menurut badan antarabangsa International Physicians for the Prevention of Nuclear War (IPPNW), Datuk Dr Ronald McCoy, Malaysia perlu berubah bagi membolehkan perubahan ke arah lebih baik dilakukan.

"Kerajaan ini telah memerintah selama 53 tahun, terlalu lama berkuasa. Semua polisi dilakukan untuk memenuhi agenda. Sebagai contoh, birokrasi digunakan sebagai alat oleh UMNO. PKR juga disabotaj beberapa kali kerana ini.

"Saya tak nampak kita boleh mengubah semua ini tanpa pertukaran kerajaan."

Beliau berpendapat demikian ketika bercakap dalam forum sempena pelancaran buku 'Questioning Arms Spending in Malaysia' tulisan Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong.

Forum itu disertai oleh McCoy, Kua, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Wakil NGO 'Food Not Bombs' Yuu Han.

Buku itu mendedahkan mengenai cara negara ini membelanjakan berbillion ringgit saban tahun bagi menambah kekuatan tentera dan membeli pelbagai senjata dan kenderaan baru.

Hakikatnya perbelanjaan ketenteraan Malaysia mencetuskan banyak kontroversi seperti pembelian kapal selam Scorpene, skandal kehilangan enjin jet F-5E di Sungai Besi dan pelbagai lagi ketirisan yang didedahkan pelbagai pihak.

Kua mendedahkan betapa 'perlumbaan senjata' antara Malaysia, Singapura, Indonesia di rantau ini mengundang kepada trend kerajaan dalam membelanjakan wang yang banyak setiap tahun atas alasan 'memodenkan' pasukan tentera.

Menurut Kua, rantau Asia Tenggara merupakan satu-satunya rantau di dunia ini yang menyaksikan peningkatan lebih 10 peratus dalam bajet ketenteraan mereka selepas Perang Dingin.

Sivarasa dalam forum itu turut menyatakan betapa UMNO sebenarnya tiada Polisi Pertahanan Negara dan ia tidak pernah dibincangkan di Parlimen.

Malah Malaysia juga tiada jawatankuasa Pertahanan Negara di Parlimen dan ia hanya dikawal penuh oleh Menteri Pertahanan.

Beliau turut menceritakan kisah Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed ditempelak Ahli Parlimen Indonesia kerana mengatakan pertahanan negara tidak penting.

"Dalam perjumpaan dengan Ahli Parlimen Asean dulu, beliau (Jazlan) mengatakan Malaysia tiada Jawatankuasa Parlimen dalam hal pertahanan negara kerana ia kami rasa ia tidak penting. Saya tak perlu bercakap apa-apa,"

Malah Sivarasa sekali lagi memberi contoh perbelanjaan kerajaan yang tampak hanya menguntungkan orang tertentu tanpa mengira nilai sebenar sesuatu peralatan itu.

Menurut Sivarasa, Angkatan Tentera telah mengeluarkan sebanyak RM 8 Billion bagi membeli 250 kenderaan pengangkut anggota (APC) dengan harga RM 31 juta setiap satu dari syarikat kroni sedangkan harga pasaran adalah rendah.

"Mereka nak beli sangat dengan 'Syarikat Kesayangan' Kerajaan. APC yang baik dari Switzerland boleh dibeli dengan harga RM 3.9 juta satu, malah Amerika menjual dengan harga RM 9.1 juta satu.

"Saya pelik mengapa Malaysia bertegas hendak belanja RM 31.1 juta untuk setiap satu kenderaan ini."katanya.

No comments: