Wednesday, December 15, 2010

SPRM tak ada ruang nak sabitkan MB Kelantan

SPRM : Tiada Kes Rasuah Terhadap Nik Aziz













KUALA LUMPUR, 15 Dis. : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) telah menutup fail tiga kes yang mengaitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM Tan Sri Hadenan Jalil berkata panel itu sebulat suara bersetuju agar SPRM tidak mengambil tindakan lanjut selepas menyiasat kes berkenaan.

"Dalam mesyuarat hari ini kita menerima laporan daripada SPRM untuk menutup kes berkenaan dan kita bersetuju bahawa ketiga-tiga kes melibatkan mereka tiada lanjutan lagi," katanya selepas mesyuarat panel itu bersama SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah di sini hari ini.

Katanya bagi dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Nik Aziz yang melantik menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), siasatan mendapati Nik Aziz sebagai menteri besar mempunyai kuasa penuh untuk melantik pegawai dan kakitangannya seperti yang termaktub dalam enakmen PMBK.

"Siasatan terperinci yang dijalankan oleh SPRM berpendapat bahawa pelantikan Abdul Ariffahmi yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi PMBK kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK itu adalah lebih kepada pertukaran nama jawatan," katanya.

Beliau berkata siasatan SPRM mendapati wujud kelemahan dalam sistem dan tadbir urus pelantikan pegawai kerajaan negeri yang menyebabkan tatacara pelantikan pegawai boleh disalahguna oleh pihak tertentu.

"Sehubungan itu, PPO meminta SPRM menasihatkan semua kerajaan negeri supaya membuat penambahbaikan dari sudut sistem, prosedur serta peraturan dalam sebarang pelantikan pegawai," katanya.

Dalam kes dakwaan penerimaan pakej mengerjakan haji oleh Nik Aziz bernilai RM65,000 daripada seorang pemilik sebuah syarikat pada 2009, Hadenan berkata tiada sebarang tuduhan boleh dibuat.

Katanya berdasarkan keterangan, Nik Aziz tidak pernah meminta pembiayaan kos mengerjakan haji itu manakala perjalanan mengerjakan haji juga tidak dilaksanakan.

"Setelah siasatan dijalankan dan setelah kes ini diteliti oleh Peguam Negara, adalah diputuskan tiada sebarang tuduhan boleh dibuat.

Bagi kes Wee yang dikatakan tidak mengisytiharkan dirinya sebagai pengarah dan mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat, Hadenan berkata tiada pendakwaan dibuat kerana Wee telah melepaskan semua jawatannya sebagai pengarah syarikat berkenaan.

"Hasil siasatan yang dijalankan, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pendakwaan dibuat. Wee juga telah mengisytiharkan hartanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

PPO adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi meneliti pelaksanaan dan tindakan operasi yang dijalankan oleh SPRM. Panel ini bukanlah sebahagian daripada anggota SPRM.

-BERNAMA-

No comments: