Wednesday, January 19, 2011

Ahli NUJ kena terus sokong Hatta

Ahli NUJ Digesa Teruskan Sokong Hata Perjuang Kebebasan Media


SHAH ALAM 19 Jan. : Ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) digesa terus memberi sokongan kepada presidennya Hata Wahari mempertahankan hak kebebasan media di negara ini daripada kongkongan Umno-Barisan Nasional.

Justeru tindakan syarikat Utusan Malaysia menggantung Hata daripada bertugas sebagai wartawan adalah diluar kewajaran memandangkan beliau merupakan Presiden NUJ.

Bekas Ketua Editor Utusan Melayu, Said Zahari yang dihubungi Tv Selangor berkata, NUJ perlu memikirkan tindakan sewajarnya terhadap akhbar arus perdana itu bagi mengelakkan kebebasan media terus ditindas proksi Umno-Barisan Nasional.

Tambahnya, perjuangan Hata bukan terbatas kepada Utusan Malaysia malah merangkumi semua pengamal media.

"Yang sebenarnya Utusan tiada hak membuat begitu. Kalau Utusan mahu melarang dia atau tinggalkan sesuatu tempat bukan hak Utusan. Jadi isu begini, kesatuan harus ambil tindakan. Kesatuan yang dipimpin Hata harus mengambil tindakan menentukan apakah sikap persatuan terhadap perbuatan Utusan ke atas diri Hata. Ini bukan soal Hata dan Utusan sahaja tapi keseluruhannya," jelas beliau kepada Tv Selangor.

Utusan Malaysia mengambil keputusan menggantung Hata daripada bertugas selepas mendapati beliau bebas dengan lantang mengkritik cara akhbar itu menyekat dan memanipulasi maklumat demi kepentingan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Dalam pada itu, ditanya sekirannya wajar NUJ melakukan membantah terhadap tindakan Utusan Malaysia, Said berkata keputusan tersebut bergantung kepada pekerja Utusan Malaysia yang menganggotai NUJ.

"Itu saya fikir keputusan yang harus diambil oleh pekerja Utusan Malaysia yang menjadi ahli kesatuan itu. Kalau kesatuan itu membincangkan isu ini dan memutuskan untuk mengadakan piket, itu memang hak kesatuan itu. Cuma kita tidak boleh samakan isu yang ada sekarang ini dengan apa yang saya lakukan dulu.

"Walaubagaimana pun kesatuan (NUJ) boleh mengambil tindakan sekirannya difikirkan tidak wajar Utusan menghukum Hata ataupun mengambil tindakan terhadapnya. Itu ada kewajarannya," tambah beliau lagi.

Menurut Said, perjuangan kebebasan media perlu diteruskan kerana beliau mendapati kebebasan kepada pengamal media langsung tidak wujud di negara ini.

Justeru beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Hata bersamaan dengan perjuangannya pada tahun 1961 apabila pekerja Utusan Malaysia melakukan piket ke atas syarikat tersebut.

No comments: