Tuesday, January 11, 2011

Exco sahkan tak tutup KCE

http://hazrul7.files.wordpress.com/2009/03/s-manikumar-1.jpgALOR SETAR, 11 Jan.: Anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Communication & Event Sdn Bhd (KCE) tidak akan tutup sebaliknya diberi tempoh untuk mengenal pasti masalah dalaman yang dihadapinya serta untuk membuat penilaian semula dalam beberapa aspek bagi usaha penambahbaikan.

Exco Kerajaan Negeri, S Manikumar yang juga Pengerusi KCE berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed), Datuk Bakar Din di sini, semalam.

“KCE tak akan ditutup dalam masa terdekat. Pihak pengurusan KCE diberi tempoh untuk meneliti masalah yang timbul dan perkara itu akan dibincangkan bersama di peringkat atasan,” katanya ketika dihubungi selepas mengadakan mesyuarat bersama PMBKed di Wisma Darul Aman.

Menurutnya, desas-desus KCE akan ditutup dalam masa terdekat berikutan semua kakitangannya diberikan notis pemberhentian kerja dan operasi syarikat sejak seminggu lalu, belum muktamad.

“Surat yang diterima oleh pekerja terbabit bukan keputusan muktamad, sebaliknya hanya sekadar pemberitahuan awal. Mesyuarat memutuskan masih ada pilihan lain untuk meneruskan operasi KCE. Perinciannya akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Manikumar berkata, butiran terperinci belum diputuskan dalam mesyuarat itu dan hanya membariskan beberapa opsyen.

“Mungkin kita kaji sama ada perlu serapkan pekerja ke agensi Kerajaan Negeri yanglain atau buat pilihan lain jika mahu terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, segala masalah atau perselisihan faham sebelum ini harus dirungkai semula untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Saya percaya ia ambil masa sedikit. Perkara ini bukan mudah seperti disangka. Saya tidak mahu ada pihak teraniaya atau kerugian kerana kajian masih dibuat sama ada harus dikekalkan atau ditutup,” katanya.

Manikumar memberi jaminan akan cuba mempertahankan KCE dengan membuat penyatuan semula dalam semua aspek termasuk pengurusan.

“Saya percaya dan yakin masih ada ruang dan masa untuk semua pihak memulihkan KCE. Buat masa ini, operasi berjalan seperti biasa. Sekiranya ada kekangan tertentu setelah dibuat perincian, barulah kita akan umum kenyataan rasmi,” katanya.

Menurutnya, beliau akan memperincikan semula hala tuju dan masa depan KCE untuk diketengahkan dalam perbincangan akan datang.

“Dalam perbincangan itu memang wujud ketidaktentuan dalam komunikasi antara pengurusan KCE dan PMBKed. Bukan masalah besar dan boleh diselesaikan. Saya mempunyai harapan besar pada KCE dan yakin sepenuhnya pada peneraju PMBKed,” katanya.

Manikumar berkata, akan akur pada keputusan yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kelak.

“Saya percaya apa jua keputusan kelak pasti ada rasionalnya. Selagi saya memikul tanggungjawab ini, saya akan lakukan seperti yang diamanahkan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan KCE mungkin ditutup dalam masa terdekat setelah dipercayai mengalami kerugian RM4 juta sejak diambil alih Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR). KCE dipertanggungjawabkan membantu Pejabat Menteri Besar dan Kerajaan Negeri amnya, dalam pelbagai bidang yang merangkumi media, komunikasi dan penganjuran acara.

KCE diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hisham Nordin dan Pengurus Besar, Ahmad Yani Bakar yang turut bertindak sebagai jentera perhubungan awam dan korporat Kerajaan Negeri di samping mewujudkan sistem perpustakaan maklumat dan bahan hebahan untuk maklumat awam.SH

No comments: