Tuesday, January 11, 2011

PAS Kelantan yakin kekalkan kuasa

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhzYZ6mt12z8luYKbC9fSWOrVOrG1yavlwSOMWOyqQOcsSCflgWtDUGbfZFrel_ce-zh2XYuJQ49Plmq6A9ZNavo4zTNIgY-oi5aDgicoGlYOTd4jGMjqAw11Op3OddLmf3hLOEHSxOQ50/s1600/mohd-amar.jpgKOTA BHARU, 11 Jan. : Pas Kelantan yakin negeri ini mampu dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) meskipun Barisan Nasional (BN) kini menggandakan usaha untuk merampas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak terkejut dengan sasaran BN untuk mendapatkan 23 kerusi DUN bagi memerintah negeri ini, namun parti itu perlu sedar hakikat politik di negeri tidak menjuruskan kepada sasaran parti tersebut.

“Sasaran adalah biasa dalam politik, kita menghormatinya, namun BN juga perlu ingat tujuh kerusi yang dimiliki juga tidak selamat. Kita juga menyasarkan untuk merampas kembali kerana BN menang dengan majoriti yang kecil kecuali DUN Ketereh,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam, Pengerusi Perhubungan BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya mendapatkan 23 dari 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

Mustapa berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan dan minat rakyat kepada BN dan buktinya dapat dilihat pada pilihan raya kecil sebelum ini termasuk di Galas.

Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini bukan sahaja berhasrat untuk mengekalkan Kelantan dan tiga negeri yang lain, malah menyasarkan untuk memerintah Putrajaya.

“Kita bukan sahaja bercakap soal negeri, malah hajat kita lebih besar untuk mendapatkan Putrajaya, saya percaya perkara ini bukannya perkara yang mustahil untuk dicapai,” katanya yang juga ADUN Panchor.

Dalam pada itu, ditanya adakah Pas Kelantan tidak bimbang dengan senario PRU 2004 yang menyaksikan parti itu memerintah dengan kelebihan satu kerusi, Mohd Amar berkata, senario itu tidak berlaku sekiranya BN bertarung dengan adil.

“Ramai kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah faktor yang menjurus kepada keputusan itu, namun hasil kajian kita, pemindahan mengundi dan ketidakadilan dalam pilihan raya pun menjadi antara faktornya,” katanya.SH

No comments: