Friday, January 7, 2011

Lagi kematian dalam tahanan polis

Suaram gesa siasat tahanan mati dalam lokap

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjnVbqyOqaIdOMIMljj1iSzLKG1xon_vMbca4VschwKE4K2-AqsMrkt8v1Ms39bmC99xlF5gHJRPRH_xRIHpWbE5xYtNuiLZ2DhF8zMmeGEtOy2ji4zmyKK7wp3xV-UsKUum0O9VbMgJ98/s1600/Suaram.jpgKUALA LUMPUR, 7 Jan: Suaram Pulau Pinang menggesa kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kematian suspek dalam tahanan polis.

Penyelarasnya, Ong Jing Cheng Suaram Pulau Pinang kesal apabila kes kematian suspek bawah tahanan polis terjadi lagi semasa kes kematian Teoh Beng Hock baru sahaja diputuskan sebagai kes “Penghakiman Terbuka”.

Katanya, walaupun pihak polis mengadakan persidangan akhbar dengan serta merta untuk menjelaskan ketiadaan pertalian antara pihak polis dengan kes kematian itu.

“Namun, kami berpendapat bahawa kes ini bukan kes sembarangan yang boleh dipercayai oleh kata seseorang,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kematian Ooh Joo Kia, 44, yang berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal yang diberkas oleh polis dalam serbuan di kedai perjudian dalam talian.

Menurut laporan, dia telah ditahan untuk membantu siasatan pada Selasa lalu. Ooh kemudiannya pengsan dan mati di dalam lokap pada pagi Rabu, selepas tujuh jam berada bawah tahanan polis.

Menurut Ong, kes itu melibatkan nyawa manusia dan dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telus dan bersih untuk menyiasatnya secara menyeluruh termasuk sebab kematian dan keadaan lokap, untuk memberikan jawapan yang jelas kepada keluarga mangsa, dan juga masyarakat.

Tambahnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan pengasingan kuasa antara badan kehakiman, badan eksekutif, dan badan perundangan.

Polis yang merupakan sebuah badan dalam unit eksekutif, ujarnya wajib memainkan peranan dalam pembinaan masyarakat yang harmoni serta susunan masyarakat.

“Namun, jika kita meninjau dari kes Teoh Beng Hock, Amirulrasyid, Kugan dan sebagainya, kita boleh mendapati bahawa pihak berkuasa tidak melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang malahan menyalahi undang-undang dan menyalahgunakan kuasa,” katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya Suaram Pulau Pinang menggesa kerajaan agar memandang serius terhadap penyalahangunaan kuasa pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan harus menubuhkan Suruhanjara Siasatan Diraja dengan serta merta, di samping berusaha menubuhkan IPCMC sebagai sistem yang dapat memantau badan polis, mengelakkan penyalahgunaan kuasa polis, dan lebih penting lagi, memastikan keselamatan rakyat.

“Akhir sekali, Suaram Pulau Pinang menyeru orang awam untuk memaklumkan kami dengan segera sekiranya terdapat sebarang kes kematian dalam tahanan, tembak mati, ditahan oleh Ordinan Kecemasan atau Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya yang boleh dihubungi melalui 012-7583779.

No comments: