Friday, January 7, 2011

Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kes Teoh ditubuh

Kes Beng Hock : Kerajaan Akhirnya Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja


PUTRAJAYA 7 Jan.: Suruhanjaya Siasatan Diraja akan ditubuhkan bagi menyiasat sama ada wujud pencabulan hak asasi dalam proses soal siasat kematian bekas pembantu Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Menurut Najib, Peguam Negara juga akan memfailkan permohonan untuk semakan semula keputusan inkues terhadap kematian Beng Hock.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Najib berkata, panel suruhanjaya berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet minggu depan.

Katanya lagi, suruhanjaya berkenaan akan diwujudkan dalam tempoh tiga bulan selepas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan tauliah perlantikan pesuruhjaya.

Peruntukan itu memberi kuasa kepada suruhanjaya berkenaan untuk menyiasat SPRM dan "kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia."

"Tempoh suruhanjaya itu juga boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana dibenarkan di bawah Seksyen 5 Akta 119," katanya lagi.

Rabu lalu, Mahkamah Koroner membuat keputusan penghakiman terbuka terhadap inkues Teoh Beng Hock.

Sehubungan itu, banyak pihak mendesak supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi melakukan siasatan penuh berhubung kematian tersebut.

Beng Hock,30, pembantu politik, dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di pejabatnya di tingkat 14 bangunan tersebut.

No comments: