Friday, January 14, 2011

PAS anjur Dialog Budayawan-NGO India


BANGI 14 JAN : Sekumpulan kumpulan budayawan Melayu dan wakil masyarakat India mencapai persetujuan atas keperluan menyelesaikan kontrovesi novel Interlok menerusi perbincangan berilmiah selain membantah tindakan membakar karya Abdullah Hussein itu.

Pertemuan bersejarah itu dianjurkan oleh Pemuda PAS Pusat semalam dan turut membabitkan wakil kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka serta pensyarah dan peguam.

Satu lagi perjumpaan muhibah akan diadakan Rabu depan untuk membolehkan pihak yang bercanggah pendapat menyampaikan kertas kerja masing-masing bagi mencari kesefahaman mengenai isu yang sensitif itu.

Mesyuarat tiga jam semalam antara lain bersetuju :

- Menghormati karya seni Interlok tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang mengandungi unsur-unsur sejarah dan imiginasi.

- mengingatkan semua pihak untuk berhati-hati supaya tidak jatuh dalam perangkap politik disebalik polemik Interlok.

- Membantah pembakaran Novel Interlok dan bersetuju menggunakan keadah dialog untuk menyelesaikan polemik.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat antara yang hadir pada perjumpaan itu adalah Seniman Paksi Rakyat Malaysia(PAKSI), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka, pensyarah universiti dan individu.

Antara pertubuhan bukan kerajaan masyarakat India yang hadir adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Makkal Sakti, dan Malaysian Indian Voice.

" Perbincangan dalam pertemuan ini berjalan dengan lancar . Setiap wakil mengemukakan pandangan dengan penuh kematangan. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun membincangkan isu yang sensitive," kata Suhaizan.

Beliau berkata pertemuan Rabu depan adalah untuk kedua-dua pihak menyampaikan asas-asas hujah kewajaran novel Interlok menjadi buku teks sekolah atau pun sebaliknya.

Suhaizan berkata masyarakat India bimbang perkataan paria dan isu kasta pada mukasurat 211 dan 219 novel itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan pelajar.

"Selain itu (mereka bimbang) ia memberi pandangan negatif terhadap masyarakat India dan menjatuhkan maruah mereka," tambah beliau.

Suhaizan berkata kumpulan budayawan pula berpendapat sebarang tindakan menarik balik novel itu dari sekolah adalah penghinaan terhadap Sasterawan Negara Abdullah Hussain, dan menjatuhkan maruah budayawan.

"Bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini maka kedua-dua kumpulan dikehendakki membentangkan kertas kerja masing-masing," tambah beliau.

Beliau berkata kumpulan budayawan membuat beberapa cadangan yang dirasakan boleh menangani kebimbangan masyarakat India. Ini termasuk

1. Membuat penerangan perkataan-perkataan yang sensitif Novel Interlok dalam ruang glosari.

2. Menyediakan buku ulasan terhadap novel bagi mengelakkan sebarang kekeliruan

3. Melatih guru-guru untuk memberi penerangan yang sebenar terhadap novel Interlok.

Beliau berkata kumpulan NGO masyarakat India mahukan Kementerian Pelajaran menggugurkan perkataan dan kandungan sensitif dalam novel Interlok atau menarik balik buku itu sama sekali daripada sekolah.

Suhaizan berkata semua pandangan itu akan dibincangkan secara terperinci dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 minggu depan.

"Di harap semua kumpulan dapat membuat keputusan yang tepat bagi menjamin keharmonian antara kaum dalam negara tercinta ini," tambah beliau.

No comments: