Saturday, January 29, 2011

Pengundian bermula , pemenang akan ditentukan pengundi

PRK DUN Tenang : Siapa Bakal ADUN Ditentukan Hari Ini


LABIS 30 Jan. : Siapa yang bakal menjadi ADUN Tenang di sini bakal ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan ini yang memulakan pengundian bermula jam 8.00 pagi.

Pilihan raya kecil kerusi di DUN Tenang sedang berlangsung dalam hujan lebat, sehingga jam 11 pagi tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 38.66 peratus atau 5,703 pengundi keluar mengundi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 12 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Pusat-pusat berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, SK Pekan Ayer Panas, Dewan Masyarakat Ladang North Labis, Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, Dewan Bola Keranjang JKKK.

Pusat mengundi lain ialah SK LKTP Tenang, SK Sawah Baru, SMK Tenang Station, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Voules, Sekolah Agama Felda Chempelak dan SK LKTP Chempelak Barat.

Dua tempat dilaporkan banjir iaitu Tenang Station dan Kampung Lembah Bakti.

Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tiga Felda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.

Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).

Selepas pusat mengundi ditubuh, perjumlahannya akan dibuat di Dewan Serbaguna Labis, seterusnya diumumkan di tempat yang sama, dijangka antara jam 8 hingga 9 malam ini.

Menurut ramalan, cuaca pagi ini akan mendung diikuti hujan lebat di tengah hari.

Kerusi Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha (BN) akibat komplikasi kencing manis.

Tenang, sebuah DUN dalam kawasan parlimen Labis, merupakan kubu kuat BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, PAS berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 5,517 kepada 2,492 pada tahun 2008.

Kali ini, BN mensasarkan 5,000 undi manakala Pakatan Rakyat pula beranggapan sudah 'berjaya' sekiranya berjaya mengurangkan majoriti sedia ada BN.

LAPORAN LANGSUNG

12:00 PM : Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

11:45 am : Kampung Paya Merah berhampiran pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin mula dinaiki air.

11:25am : Menurut SPR, 38.66 peratus atau 5,703 pemilih telah membuang undi

11.00am : Walaupun hujan lebat di Tenang dan setengah kawasan sudah banjir, sehingga jam 10 pagi ini, 24.34 peratus atau 3,591 pemilih atau satu perempat daripada pengundi sudah keluar mengundi. Hujan lebat turun sejak malam tadi.

10.20am : Calon PAS Normala Sudirman tiba di SK LKTP Tenang dan diejek penyokong BN.

"Ini wakil rakyat yang kamu mahu? Tak pernah masuk universiti," jerit penyokong BN.

Manakala penyokong PAS pula membalas dengan jeritan "rasuah".

10.05am : Di pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, proses pengundian berjalan tenang tanpa sebarang kekecohan.

Kedua-dua perayu undi, walaupun dengan hujan lebat, masih meneruskan usaha merayu undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang media, di Kompleks Institutsi Pendidikan SMK Tenang, yang terletak bersebelahan pusat mengundi ini tidak lama lagi.

9.55am : Keadaan trafik hampir terhenti akibat kesesakan di Felda Tenang, yang terdapat pusat pengundian SK LKTP Tenang.

9.25am Jabatan Bomba dan Penyelamat kini bersedia dengan bot untuk menghadapi kemungkinan banjir teruk.

8.55am Calon PAS Normala Sudirman tiba di pusat pengundian SK Kampung Tenang, Kampung Redong.

NONEDengan yakin, beliau percaya pengundi akan membuat pilihan yang tepat.

8.40am Beberapa petugas SPR menurunkan bendera dan poster - yang gantung sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian- kerana berada kawasan pengundian.

Perayu undi dari kedua-dua parti, kini mula berada di luar pusat pengundian untuk merayu undi.

8.15am Hujan menyebabkan air naik di Kampung Redong. Jika berterusan, kawasan tersebut akan dilimpahi banjir.

Di Kampung Paya, SPR mula melarang payung dibawa ke tempat membuang undi.

8.02am Kelihatan BN dan PAS masing-masing membuka pondok panas mereka sendiri di sekitar pusat mengundi walaupun dilarang oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi keluar agak perlahan ekoran hujan renyai-renyai. Banyak payung hijau dan biru mewarnai sekitar kawasan mengundi.

Di Kampung Paya, ahli parlimen Labis Chua Thee Yong antara yang menunggu BN dalam hujan renyai di mana calon itu akan mengundi.

"Kita jangkakan ia akan jatuh kepada 60 peratus atau lebih rendah lagi, bergantung pada keadaan," katanya.

Beliau berpendapat, peratusan keluar mengundi akan rendah ekoran cuaca semasa.

8.00am Peti undi dibuka.

No comments: