Thursday, January 20, 2011

Permuafakatan PR menakutkan Umno

Dr Zul: Perjuangan Pakatan Rakyat Selari Dengan Islam


KUALA LUMPUR 20 Jan. : Matlamat setiap komponen Pakatan Rakyat sentiasa selari dalam menegakkan keadilan, kebenaran dan kesamarataan dalam memperjuangkan nilai-nilai murni untuk membentuk sebuah negara yang berteraskan Islam.

Lantaran itu kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak tanpa mengira fahaman agama kerana keutamaan diletakkan pada nawaitu yang ditetapkan.

Justeru, tidak timbul soal ideologi mahupun cita-cita politik dalam gabungan itu kerana setiap dasar yang terbit, adalah hasil dari permuafakatan politik yang dimeterai secara bersama.

"Kami lebih selesa bersama DAP daripada mana-mana pihak yang tidak mahu menegakkan keadilan dan menjunjung tinggi cita-cita yang murni di sisi Allah S.W.T ini," kata Dr Dzul pada Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian, menjawab persoalan bahawa Buku Jingga yang diterbitkan Pakatan Rakyat tidak mengandungi hujah berhubung negara Islam seperti yang diimpikan oleh parti Islam itu.

Menurut Dr Dzul, PAS sentiasa merujuk kepada amalan murni pada zaman Rasulullah S.A.W dalam membanteras kezaliman dan menegakkan keadilan dan ia selari dengan apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

"Atas asas inilah, atas hujah inilah, berpaksikan bukti inilah, maka kami PAS bersama-sama dengan gagasan menegakkan keadilan, membanteras apa jua kezaliman, dalam apa jua bentuk bersama-sama dengan kawan-kawan DAP, PKR dan sesiapa pun yang mahu bersama-sama membanteras kezaliman," kata Dr Dzul.

Maka jelasnya, Pakatan Rakyat mempunyai asas yang kukuh dan jitu ke arah itu.

"Tidak ada sesiapa pun dalam DAP yang dihalang atau dinafikan untuk bermimpikan Malaysian Malaysia dan sebagainya. Begitu juga dengan PAS, kita punya cita-cita tersendiri atas paksi dan platform wadah PAS.

"Namun dalam permuafakatan politik Pakatan Rakyat, ini bukan menjadi dasar dan polisi yang kita capai dalam konvensyen pertama," jelasnya lagi.

Justeru beliau menggesa mana-mana pihak yang acapkali memanipulasi perkara ini agar menghentikannya kerana ia tidak akan mengubah pendirian gagasan itu.

"Jadi tuan-puan, buat kesekian kalinya saya membuat penjelasan, jangan dijadikan ini cara untuk pecah perintah kami sebab kami jelas, kami ingin bersama dengan sesiapa pun, dengan DAP walaupun mereka bukan Islam tetapi atas dasar menegakkan keadilan, mencegah dan membasmi kezaliman dan apa juga kebobrokan hasil daripada pengurusan pincang dan khianat kepada amanah Allah, kami tetap akan bersama," ujarnya.

No comments: