Tuesday, January 25, 2011

Umno angkuh, rakyat boleh nilai

Tolak Usul: Bukti Umno Angkuh


SHAH ALAM 25 Jan. : Keputusan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Selangor semalam memperlihatkan sikap tidak jujur Umno-Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin memberi peluang kepada rakyat untuk menilai siapa yang menolak institusi Raja.

"Ini satu perkara yang pada saya telah membuka minda masyarakat Melayu khususnya di Selangor tentang sikap dan wajah sebenar Umno.

"Semalam menunjukan Umno tidak ikhlas dan hanya sekadar melaungkan slogan rektorik politik untuk mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu," katanya.

Usaha kerajaan negeri menerusi sidang Khas DUN semalam untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri Selangor kepada Sultan Selangor tetapi tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan sokongan dua pertiga.

Keputusan usul itu diumumkan oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim di mana 34 anggota dari Pakatan Rakyat menyokong manakala 20 wakil rakyat Barisan Nasional pula menolak.

Shamsul ketika dihubungi Tv Selangor berkata Umno seperti biasa, terus bersikap angkuh sedangkan Pakatan Rakyat sering dimomokkan dengan andaian pemerintahan Pakatan Rakyat terus-terusan menolak Institusi Diraja.

"Itu adalah satu andaian yang meleset kerana kita telah berjaya membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa dalam hal-hal yang berkaitan dengan maruah institusi Raja pihak kami lebih jujur dan ikhlas," katanya.

Mengulas tentang kualiti perbahasan persidangan semalam, Shamsul berpendapat wakil rakyat dari Umno-BN pasif dan kelihatan tidak bersedia dengan memberi penjelasan yang kurang fakta dan mantap berbanding wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, insiden ini juga secara tidak langsung mengambarkan kewibawaan seseorang wakil rakyat yang dipilih untuk mewakili suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

"Pimpinan Pakatan Rakyat nampak lebih mantap dan jauh lebih bersedia daripada hujah-hujah Barisan Nasional, jadi pada saya inilah kualiti sebenar wakil rakyat yang dihidangkan kepada rakyat kerana mereka perlu tahu apabila mereka memilih wakil rakyat mereka harus memilih wakil rakyat yang mampu membela nasib mereka secara keseluruhannya," katanya.

No comments: