Wednesday, February 9, 2011

ADUN BN Pulau Betong akan disaman

Ketua Menteri mahu saman Farid

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi48QZ321QI33R-h94o5UhAl_1P5TEfSxUQZ22K1Lx1raPncRtBjexwFPQlGuW8hRCXcN1xBEoqsWqECbJaPNfpQ8CDW8uEtiFQlZiQwbqnNvanSuCQ-XQ188yVqgFaSID-dTqN5P6jyUE/s1600/farid.jpgGEORGETOWN, 9 Feb. : Ketua Menteri, Lim Guan Eng mewakili Kerajaan Negeri memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Menurutnya, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memfailkan saman terhadap Farid dalam tempoh terdekat.

“Dalam perbincangan itu, saya mendapatkan sokongan penuh ahli untuk memfailkan saman terhadap Farid atas tuduhannya menyatakan Kerajaan Negeri mengedarkan risalah My Balik Pulau secara senyap-senyap.

“Perkara itu tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri,” katanya semalam.

Guan Eng turut menegaskan, tuduhan bersifat rasis oleh Farid mendakwa Kerajaan Negeri ‘Lupa Sejarah, Hina Melayu’ adalah perkataan serius.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri atas pandangan Penasihat Undang-undang Negeri memutuskan tindakan saman. Sekiranya terdapat tuduhan palsu terhadap Kerajaan Negeri, Ketua Menteri perlu bertanggungjawab membersihkan imej menerusi tindakan saman malu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi ruang kepada ADUN Pulau Betong menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf secara terbuka sebelum pihaknya memfailkan saman.

“Jika Farid berpura-pura berlakon tidak tahu apa-apa dan enggan memohon maaf serta menarik balik kenyataan itu. Kerajaan Negeri tidak boleh bertolak ansur atau bersabar lagi. Kita akan pergi ke mahkamah untuk mengambil tindakan terhadapnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan laporan akhbar semalam menjelaskan secara terperinci usaha mengeluar dan mengedar risalah My Balik Pulau dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) yang tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

“Kenyataan itu, secara langsung mencerminkan Farid seorang rasis melemparkan tuduhan melulu ke atas Kerajaan Negeri,” katanya.

No comments: