Wednesday, February 9, 2011

Kerajaan Kelantan tidak terima cadangan kerajaan pusat naikkan tarif air

Tarif air dijamin tidak naik: MB

http://farm4.static.flickr.com/3620/3362193839_f55fe73196.jpgKOTA BHARU, 9 Feb. : Kerajaan Pas Kelantan beri jaminan tidak akan menaikkan tarif air walaupun menerima cadangan dari Kerajaan Pusat untuk menyemak semula harga pada Oktober 2010.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendekatan itu mengambil kira bebanan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan beberapa barangan lain seperti petrol yang menyukarkan kehidupan semasa rakyat.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menaikkan tarif air, walaupun terpaksa memikul bebanan yang berat kerana kos untuk mengurus air besar.

“Pam air ke tangki memerlukan penggunaan elektrik dan untuk menyalurkan bekalan air yang bersih perlu menggunakan klorin, kos kedua-duanya meningkat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco, semalam.

Ketika ini, Air Kelantan Sdn Berhad Sdn Bhd yang menguruskan bekalan air di negeri ini mengenakan caj 40 sen bagi penggunaan sehingga 20 meter padu manakala 75 sen bagi kegunaan 21 hingga 40 meter padu bagi kegunaan domestik.

Bagaimanapun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas tidak mengulas lanjut mengenai tempoh jaminan Kerajaan Negeri untuk tidak menaikkan tarif air itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyeru rakyat Kelantan menjadikan bulan memperingati kelahiran Rasulullah SAW atau bulan Maulud dengan memperbanyakkan program ilmu.

Menurutnya, sambutan bulan kelahiran Nabi itu perlu diperluaskan lagi dengan program ilmu sehingga menukar persepsi umat Islam memasuki bulan itu seperti memasuki sebuah sekolah agama.

“Bulan Maulud ini, amat sesuai kita perbanyakan program ilmu di masjid atau madrasah untuk menyebarkan ilmu Islam, ibu-bapa dan guru juga perlu memainkan peranan dalam hal ini,” katanya.

No comments: