Sunday, February 13, 2011

Hindraf kena tangkap, Adakah kerana Perkasa tu Umno tak akan kena tangkap ?

75 Aktivis Hindraf Temasuk 15 Wanita Dan Lima kanak-Kanak Ditahan


SHAH ALAM 13 Feb.: Seramai 75 aktivis Hindraf ditangkap hari ini di beberapa lokasi berlainan berikutan konvoi aman Hindraf bersama Parti Hak Asasi Manusia (HRP) mengedarkan risalah dan poster berkenaan satu perhimpunan aman hujung bulan ini.

Penasihat HRP, P. Uthayakumar yang masih berada di tahan di Balai Polis Jalan Travers ketika dihubungi TV Selangor berkata dalam jumlah tersebut, 15 daripadanya adalah wanita serta lima kanak-kanak berumur dari 11 ke 17 tahun.

"Bermula daripada jam 10.30 pagi, enam orang aktivis Hindraf telah ditangkap di Ipoh, diikuti dengan lima di Rawang, 32 orang di Seremban, 20 orang di Brickfields dan 12 orang di luar ibupejabat HRP di Bangsar, dan jumlahnya 75 orang mengikut perkiraan kami," jelas beliau.

Kata beliau, dipercayai tindakan polis ini adalah ekoran laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) semalam terhadap Hindraf dan ekoran itu, Perkasa juga telah menganjurkan satu demonstrasi menyuarakan tentangan mereka terhadap Hindraf di Seremban.

"Hari ini Perkasa telah turut mengadakan demonstrasi terhadap Hindraf di Seremban Square petang ini tetapi polis tidak pula mengambil sebarang tindakan seperti tangkapan sebagaimana yang dibuat terhadap penyokong-penyokong Hindraf. Ini adalah bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan hak untuk semua warganegara Malaysia," tegas beliau yang jelas tidak berpuas hati terhadap tindakan polis.

Selain itu, Uthayakumar memberitahu Ketua Penerangan HRP, S Jayathas semasa ditahan di Rawang telah membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail kerana gagal mengambil sebarang tindakan sehingga kini terhadap perbuatan-perbuatan berunsurkan perkauman oleh Umno serta berkenaan buku teks kontroversi, Interlok.

Beliau seterusnya berkata, walaupun polis cuba untuk mematahkan aktiviti mereka hari ini tetapi konvoi Hindraf akan tetap diteruskan sebaik sahaja kesemua aktivis dibebaskan hari ini.

Katanya, mesej utama yang ingin disampaikan melalui konvoi hari ini adalah untuk menerangkan kepada masyarakat terutamanya kaum India berkenaan penindasan Umno terhadap mmasyarakat India serta menyampaikan maklumat berkenaan perhimpunan aman hindraf pada hujung bulan ini.

Beliau memberitahu, kesemua enam orang aktivis Hindraf yang ditahan di Ipoh petang tadi telah dibebaskan dan sejurus dibebaskan, kesemua mereka meneruskan usaha mengedar risalah berkenaan perhimpinan aman yang berlandaskan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan itu.

"Tujuan konvoi hari ini adalah utuk menimbulkan kesedaran terhadap rasisme Umno terutamanya kepada masyarakat India dan konvoi hari ini juga telah memberikan risalah-risalah berkenaan dengan perhimpunan rakyat pada 27 Februari, 2011 bertempat di KLCC jam 9pagi, dan penangkapan 75 orang penyokong Hindraf hari ini adalah untuk mematahkan atau 'supress' himpunan aman Hindraf pada 27 haribulan kelak," tegas beliau lagi.

Setakat ini, kesemua 32 aktivis yang ditahan di Balai Polis Jalan Traves termasuk wanita dan kanak-kanak masih menunggu untuk keterangan mereka diambil.

No comments: