Monday, February 21, 2011

Keluarga tahanan mati dalam lokap desak siasatan kedua

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bersama ahli keluarga mangsa tahanan mati dalam lokap, Hairul Amri Aliyas, menyerahkan memorandum ke Bukit Aman di sini, hari ini.

Manikavasagam berharap memorandum itu membolehkan siasatan dan keadilan ke atas kematian Hairul Amri dapat diperjelas supaya tidak timbul keraguan.

“Kami menyerahkan memorandum kepada polis bagi meminta mereka menyiasat semula kes Hairul kerana keluarga curiga dengan punca kematian mangsa. Saya berharap siasatan kedua dijalankan.

“Terlalu banyak kes melibatkan tahanan mati dalam lokap tetapi sehingga kini belum selesai. Kami meminta polis bersikap professional dengan mengadakan inkues kematian Hairul.

“Kita sudah senaraikan peguam yang akan mengendali kes iaitu Latheefa Koya dan N Surendran,” kata Manikavasagam.

Memorandum itu diterima Cif Inspektor, Adzzi Ismail di pondok polis Bukit Aman.

Hadir sama ialah Ibu mangsa, Zaleha Bahari, 48 dan adik mangsa, Azira Naim, 17 yang masih bersedih dengan kematian Hairul serta mendakwa terdapat beberapa kesan lebam di tubuh mangsa.

Bagaimanapun, isteri mangsa, Rozaini Rosli, 22, tidak hadir kerana anak keduanya, Mohd Rizki Hakimi berusia sembilan bulan, tidak sihat.

Hairul mati dalam lokap balai polis Kuala Selangor jam 4.30 pagi Khamis lalu dan bedah siasat Hospital Tanjung Karang menyatakan kematian berpunca akibat ulser pecah dalam perut.

Bapa kepada dua anak itu ditahan kerana disyaki mencuri tetapi selepas pemeriksaan air kencing, beliau didapati positif ganja dan direman tujuh hari.

Ketika ditemui media, Zaleha berkata, anaknya sihat ketika ditahan polis dan terkejut apabila bedah siasat menunjukkan Hairul mati akibat ulser dalam perutnya pecah.

“Saya diberitahu tahanan dalam lokap sama, Hairul pada malam sebelum kematiannya, ada mengadu sakit di perut tetapi tidak diendahkan polis.

“Saya berharap kes anak saya dapat diselesaikan segera supaya kejadian seperti ini tidak berulang kepada keluarga lain,” kata Zaleha dengan nada sebak.

No comments: