Monday, February 21, 2011

Manipulasi media Umno terlalu jahat

Nik Aziz salahkan manipulasi media

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjQ4MoBfkiwHrc5nc0NIwS6bN8JoFo0iTYTVCew9whhHn3Rin1jHvVYuSzGuVCe8d_0OyRN21a7cY5cyUbvV918wEBnIyrblELjsIaQagConns3n-To8oSMYVihDfWEZh4J9L3SCnhoc_E/s400/Tuan+Guru+Nik+Aziz.jpgKUALA LUMPUR – Pas mendakwa penurunan undi kaum Melayu terhadap parti itu sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang lalu berpunca daripada manipulasi dan laporan berat sebelah media yang dikuasai UMNO-Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pembangkang di negara ini tidak mendapat tempat untuk menjelaskan sesuatu isu di media arus perdana, sekali gus menyebabkan rakyat tidak memperoleh maklumat yang tepat.

Menurutnya, sekatan tersebut menyebabkan Pas terjejas kerana konon-kononnya media terbabit mempengaruhi minda orang Melayu dengan menonjolkan berita bahawa kuasa politik Melayu terhakis jika menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, ia adalah tidak adil kepada PR kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi, kerajaan BN seharusnya tidak menyalahgunakan media perdana, sebaliknya memberi peluang kepada pembangkang menjelaskan isu-isu tertentu.

“Pas menyeru orang Melayu, sokonglah PR tidak kira calon dari PKR atau DAP kerana dalam PR itu ada Pas, ada Islam.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda membawa agama kepada seluruh umat manusia, baginda bukan bawa ideologi kebangsaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, Nik Aziz turut menegur sebuah akhbar bahasa Melayu semalam yang menunjukkan laporan muka depan bertajuk ‘Nik Aziz Ubah Nada’ yang didakwa sebagai satu usaha menjejaskan kredibilitinya.

“Saya tidak pernah ubah nada saya, ini adalah bohong. Apa yang saya cuba sampaikan adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam agenda Pas kerana Melayu adalah kaum pertama di Tanah Melayu yang memeluk Islam.

“Kalau Pas mahu memperjuangkan Islam, siapa yang perlu diutamakan jika tidak orang Melayu yang juga kaum majoriti di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan Pas sekarang sudah mula mengutamakan perjuangan Melayu berbanding Islam, Nik Aziz menegaskan bahawa Pas akan tetap melebihkan Islam daripada perkara lain.

“Tugas menjaga orang Melayu memang perlu bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada Pas dan semua parti lain di negara ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menegur Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (Bebas), Zulkifli Nordin yang meminta beliau kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dalam mengutamakan orang Islam.

“Zulkifli orang yang sudah tidak siuman. Beliau mengkhianati pengundi di kawasannya dan sekarang beliau mengkhianati saya pula,” katanya.

Dalam blognya, Zulkifli menceritakan bagaimana Rasulullah SAW dalam Surah ‘Abasa ditegur Allah SWT kerana berpaling muka dan bermasam muka terhadap orang Muslim lain.SH

1 comment:

Iaryylr said...

sebab itu saya malas tonton berita tv, kecuali cerita-cerita best jer, sebab berita tv asyik membelit dan mengayam fitnah. Ada juga rakan rakan yang sudah teranyam kerana berita tv dan surat khabar kerana mentaliti ' jika tidak benar mengapa keluar tv?'