Monday, February 21, 2011

Malaysia no. 36 tapi diwar-warkan no.8

Ketuanan Kencing : KP Pelajaran seleweng kenyataan?

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dikatakan menyeleweng satu kenyataan apabila mendakwa laporan dalam satu satu majalah antarabangsa, Newsweek bahawa Malaysia menduduki tangga kelapan di dalam kedudukan penyedia pendidikan di negara ini.

Kenyataan beliau telah disanggah oleh Datin Noor Azimah Abdul Rahim, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) sebagai tidak tepat.

Noor Azimah memberitahu kedudukan sebenarnya ialah Malaysia berada di tangga kelapan di dalam satu kajian di kalangan negara-negara berpendapatan sederhana sahaja.

Negara-negara di dalam kategori bukannya negara-negara maju di Barat Eropah, Amerika Syarikat mahupun Jepun dan Korea Selatan serta malah Singapura.

Negara-negara yang Malaysia dipadankan ialah negara-negara membangun seperti Russia, Latvia, Cuba, Poland dan Kazakhstan serta negara-negara yang mencapai purata pendapatan kebangsaan antara USD3,946 dan USD12,195 sahaja.

Tambah Noor Azimah lagi, Malaysia hanya berjaya menduduki tempat ke 36 di dalam mutu penyediaan pendidikan dengan kadar literasi (boleh baca) sebanyak 89 peratus dengan skor kajian sebanyak 86.43.

Di dalam laporan itu, 10 negara yang menggungguli kedudukan teratas adalah Finland, Korea Selatan, Kanada, Singapura, Jepun, Switzerland, United Kingdom dan negara-negara yang dianggap mempunyai pendapatan per kapita tinggi.

Noor Azimah menasihatkan Abdul Ghafar supaya berhati-hati membuat kenyataan kerana pada zaman sekarang, maklumat-maklumat berkenaan mudah diperolehi oleh golongan cerdik pandai dan berilmu serta diterbitkan untuk pengetahuan umum.

PAGE yang sebelum ini mendesak kerajaan supaya kembali melaksanakan Program Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pula mendakwa banyak kejayaan negara-negara pendapatan pertengahan dari negara-negara bekas Soviet komunis memberikan perhatian ke atas Sains dan Matematik untuk berada pada kedudukan yang lebih baik dalam ranking tersebut.

Oleh yang demikian, Noor Azimah menegaskan PAGE akan terus mendesak kerajaan bagi memberi pilihan kepada ibu bapa kepada pelajar Malaysia untuk memilih medium pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris di dalam Sains dan Matematik kerana mendakwa itu adalah cara bagi mencapai tahap negara maju.

Beliau menolak tanggapan bahawa pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris hanya terhad kepada mereka yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah swasta dan rakyat Malaysia tidak kira status perlu diberi pilihan berkenaan.

Walaupun PAGE terus mendesak dengan menghantar memorandum beberapa bulan lalu kepada Perdana Menteri berhubung isu PPSMI yang didakwa mereka sebagai bermotif politik, pihak kerajaan mengumumkan tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah diambil sebelum ini untuk membatalkan pelaksanaannya.

No comments: