Saturday, February 12, 2011

NGO akan hantar memorandum sokong rakyat Egypt kepada PM

Serah memo pada PM minggu depan

http://sebaikbaikcahaya.files.wordpress.com/2010/06/12716.jpgGEORGETOWN , 12 Feb. : Satu memorandum yang ditandatangani lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman minggu depan.

Penyelaras Koalisi Rakyat Menyokong Revolusi di Mesir, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia itu mengandungi sokongan mereka terhadap gesaan pengunduran Presiden Hosni Mubarak.

“Selain itu, ia sebagai tanda kami menyokong perjuangan rakyat Mesir yang membuat perhimpunan secara besar-besaran di Dataran Tahrir, Mesir hari ini (semalam). Kami juga berharap semua pihak termasuk kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini menyokong apa yang kami lakukan ini.

“Dengan penyerahan memorandum ini, kami mengajak semua rakyat Malaysia menyokong perjuangan rakyat Mesir ini bagi menolak pimpinan Mubarak dan menggesa semua kerajaan demokratik dan progresif perlu menyokong kebangkitan rakyat dan revolusi di Mesir dan Tunisia,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) cawangan Pulau Pinang, Dr Md Roslan Hashim berkata, sebagai antara NGO yang prihatin terhadap nasib rakyat Mesir, ia berpendapat bahawa sudah tiba masanya rakyat di negara itu bangkit dan menentang kezaliman rejim diktator dan rasuah Mubarak.

“Kami sokong rakyat Mesir dan berharap kerajaan Mesir akur dengan kehendak rakyat,” katanya.

Semalam, lebih 200 penduduk dan 20 NGO berkumpul di hadapan Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak dekat sini bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha rakyat Mesir dalam menolak kepimpinan Mubarak.

Dengan memegang sepanduk antaranya bertulis ‘Selamatkan Mesir’ dan ‘Undur Mubarak’, mereka melaungkan supaya Mubarak mengundurkan diri bagi memberi rakyat Mesir mendapat keadilan dengan kerajaan yang lebih bebas, demokratik dan adil.

No comments: