Monday, February 28, 2011

PRK Kerdau : PAS perlu dapat 800 undi lagi untuk menang

Prk Kerdau: Peluang PAS cipta kemenangan

Oleh: wanibrah

"Pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Pahang adalah bersekali dengan Merlimau, Melaka. Penamaan calonnya diadakan pada 26 Februari dan pengundian pula 6 Mac 2011.

Inilah PRK serentak yang ketiga selepas Bukit Gantang- Bukit Selambau-Batang Air (7 April 2009) dan Galas-Batu Sapi (4 November 2010).

Mungkin PRK Merlimau-Kerdau ini merupakan siri PRK terakhir yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi penggal pilihan raya ke12 ini. Selepas ini, tumpuan SPR kepada pilihan raya umum Negeri Sarawak dan nasional.

Sehubungan dengan PRK Kerdau, tradisi persaingan berlaku adalah antara PAS dengan Umno. PAS mewakili Pakatan Rakyat sudah dua kali (PRU 2004 dan 2008) bertembung dengan Umno mewakili Barisan Nasional sejak nama Dun Kerdau ditukar tahun 2003 daripada asalnya Sanggang.

Ketika Sanggang dulupun PAS dan Umno juga yang bersaingan. Inilah bezanya Kerdau dengan Merlimau.

Di Merlimau pada PRU 1999 PAS yang berdepan dengan dengan Umno, tetapi pada PRU 2004 diserahkan kepada KeADILan. Kemudian PRU 2008 dikembalikan pula kepada PAS dan pada PRK kali ini, PAS juga yang disepakati bertanding menghadapi Umno.

Apa pun kedua-dua Dun tersebut kekal dimenangi Umno-BN. Justeru PRK Kerdau-Merlimau kali ini dianggap sebagai persaingan ulangan yang bakal mengesahkan sekali lagi sikap staus-quo pengundi kepada Umno-BN.

Kerdau tetap Kerdau

Walau bagaimanapun, bandingan antara PRK Kerdau dengan Merlimau, Kerdau lebih menarik diulas kerana nilai tradisi politik Malaysia yang bertonggakkan pengundi Melayu berlaku di Kerdau.

Lebih-lebih lagi bagi mengukur tahap penerimaan orang Melayu di Pahang yang dikatakan tidak berubah, pekat dengan sikap perjuangan kebangsaan.

Maka, Kerdau bakal menyaksikan kepekatan semangat kebangsaan Melayu dan tradisi Kerdau tetap Kerdau.

Kepekatan itu adalah keabsahan yang bakal mengiakan nilai-nilai kepimpinan tradisi yang pernah dikaji oleh Syed Husin Ali (1960-an) dan Mohd Salleh Lamry (1980-an) tentang sosiologi politik lokal di perkampungan Kerdau itu.

Meskipun begitu, tugas perjuangan parti politik Islam dipacu oleh PAS tetap bertanggungjawab menghadapi Umno. Misi politik-dakwah PAS tetap diperkasakan, meskipun bersaing dalam kubu Umno.

Matlamatnya amat jelas iaitu untuk memastikan sebaran kefahaman kepada kandungan perjuangan Islam bersama Pakatan Rakyat tidak terus disalahertikan.

Maka, strategi yang dilihat penting bagi PAS di Kerdau ini ialah menyebar dan memberi kefahaman serta menjelaskan segala kekeliruan agar perjuangan politik Islam tetap bersih, suci dan murni.

Bertolak daripada misi, matlamat dan strategi ini, komitmen penyertaan PAS dalam PRK kali ini seharusnya dibuktikan dengan gerak kerja kempen yang mampu memantapkan calon, kepimpinan dan petugas pilihan raya PAS bersama-sama Pakatan Rakyat menjelang PRU ke-13 nanti.

PRU lepas

Keputusan PRU lepas menyaksikan PAS hanya berjaya meraih sokongan 2,250 (37 peratus) pengundi Kerdau yang keluar mengundi sekitar 80 peratus.

Pihak BN pula meraih 4,135 (63 peratus) dengan majoriti 1,615 undi. Pada PRK kali ini, mungkin jumlah keluar mengundi juga sekitar 80 peratus atau sejumlah 7,200 daripada 8,999 pemilih berdaftar. Ini kerana, keputusan PRK Kerdau ini tidak terlalu penting untuk BN Pahang.

Ia tidak akan mengubah apa-apa kuasa dominasi dalam Kerajaan Negeri.
Meskipun begitu, berdasarkan pilihan raya lepas, pada 2004 BN mencapai kemenangan lebih selesa dengan majoriti 2,565, tetapi merosot kepada 1,615 undi.

Undi BN telah merosot sebanyak 301 dan PAS meningkat 649 undi. Jadual berikut menunjukkan suatu perubahan positif sikap pengundi Kerdau yang merupakan peluang bagi PAS pada PRK kali ini.

Bandingan undi PAS-BN: PRU 2004-2008
Parti/PRU
2004
2008
(+/-)
PAS
1,871
2,520
649
BN
4,436
4,135
-301
MAJORITI BN
2,565
1,615
-950

Peluang PAS


Berdasarkan gambaran tersebut, di sananya terdapat asas keyakinan perubahan sikap pengundi Kerdau di dalam menerima PAS-Pakatan Rakyat.

Apa yang penting, gerak kerja kempennya lebih menyentuh kepada strategi menyebar dan memberi kefahaman serta menjelaskan segala kekeliruan agar perjuangan politik Islam (baca calon PAS) tetap bersih, suci dan murni untuk membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa.

Di sebalik strategi ini, tugas utama kempen PAS ialah meraih simpati dan mempengaruhi sikap pengundi Kerdau dari persepsi percayakan kepada Umno sahaja dalam memajukan mereka kepada sikap memilih PAS.

Maka tidak salah, malah tidak pun menjejaskan darjah kemajuan di Kerdau dengan hanya memilih PAS. Kerdau tetap maju.

Apa pun, latar belakang sosiekonomi Kerdau yang bergantung kepada asas ekonomi tani dan peneroka rancangan tanah Felda sedikit sebanyak mengikat sikap ‘kebergantungan melampau’ kepada pihak kerajaan.

Justeru calon PAS, Hassanudin Salim mestilah sedia tampil dengan lebih merapati golongan pengundi tersebut dan sedia dirasai lebih mesra mengatasi calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Tindakan kempen merapati dan mesra merupakan cara terbaik merungkai kebergantungan melampau pengundi.

Selain itu, pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat hendaklah meletakkan sasaran meraih simpati seramai 1,500 orang pengundi atas pagar sebagai keutamaan.

Program kempen kepada pengundi atas pagar seharusnya bersifat mesra dan memujuk agar mereka sedia keluar mengundi untuk membuat perubahan.

Di samping memberikan kefahaman kepada isu-isu yang boleh merungkaikan keyakinan mereka kepada Umno-BN.

Malah perlu diberitahu hakikat Umno yang sekian lama berkuasa sudah ‘semacam memperkotak-katikkan rakyat’ ekoran penglibatan pemimpin dan kerajaan BN dengan ‘skandal maruah.’

Antaranya pengundi harus diberitahu tentang kes-kes rasuah dan jenayah berprofail tinggi melibatkan individu yang rapat dengan Umno seperti kes pembunuhan Altantuya.

Begitu juga tindakan Umno bersekongkol dengan APCO perunding Yahudi yang menjadikan Israel terus menzalimi umat Palestine dan pemerasan agensi Felda ke atas peneroka yang dilakukan berselindung di sebalik projek pembelaan yang tidak seberapa.

Dalam masa yang sama gerak kerja teknikal dan kempen terhadap pengundi PAS perlu dilakukan agar mereka dapat keluar mengundi secara maksimum. Diikuti dengan usaha menarik pengundi luar dibawa balik mengundi dan para perayu undi pula sedia menjawab kesemua fitnah Umno terhadap PAS di dalam pelbagai isu.

Pendekatan sedemikian dilihat bakal membantu kempen calon dari rumah ke rumah agar pengundi memahami tujuan memilih calon PAS, iaitu “memperkasakan suara PAS dalam Dewan Negeri Pahang."

Penting juga dilakukan ialah dapat mendedahkan fakta-fakta perjuangan Umno yang merugi, memundur, menjatuhkan maruah orang Melayu seperti isu tanah simapanan Melayu dan mengurang kuasa politik Melayu seperti tidak sedia menambah bilangan kerusi Dun dan parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu.

Isu kebobrokan Umno itu harus diperbandingkan dengan pengalaman perjuangan PAS dan kejayaan PAS mentadbir Kelantan dan Kedah yang berjaya memartabatkan politik umat Islam dari segi kebajikan, politik dan syariah. Malah kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang harus diperjelaskan bagi menjawab serangan kempen BN di Kerdau.

Bagi mencapai kemenangan di Kerdau, natijahnya semua tindakan strategik tersebut dilihat dapat membantu pasukan kempen PAS mempertahankan kira-kira 2,300 undi teras yang sedia ada, di samping dapat meraih sekitar 1,500 pengundi atas pagar.

Justeru PAS boleh mengumpul kira-kira 3,800 dan ia sudah cukup untuk mencapai kemenangan tipis. Semoga Allah membimbing rakyat Kerdau untuk menerima perjuangan Islam.

No comments: