Saturday, April 16, 2011

Idris, Haminah Tokoh Veteran PAS Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 16 April : Tuan Haji Idris Zaini, 68 dan Hajah Haminah Yaakob, 64 telah dipilih oleh PAS Kawasan Parit Buntar sebagai Tokoh Veteran PAS 2011 sempena Mesyuarat Agung PAS Kawasan Parit Buntar kali ke-57 di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong di sini.

Idris anak kelahiran Parit Haji Ali, Kuala Kurau merupakan seorang guru yang bergiat aktif dengan PAS.

Banyak cabaran dan halangan yang beliau tempuhi termasuklah ditukarkan sekolah beberapa kali.

Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pemuda PAS akhir tahun 70-an dan sehingga 2007 jawatannya adalah Penolong Setiausaha PAS Kawasan Parit Buntar.

Manakala tokoh veteran Muslimat, Haminah merupakan aktivis muslimat PAS yang aktif dan sanggup berkorban masa dan tenaga berkempen untuk PAS termasuklah dalam pilihanraya-pilihanraya kecil (PRK) seperti di Kedah, Kelantan, Terengganu, PRK Permatang Pasir, Bukit Gantang dan banyak lagi.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini merupakan seorang yang berani berhadapan kempen pihak lawan termasuk pernah dihalau ketika berkempen untuk Pilihanraya Umum Ke-11 pada tahun 2004 yang lalu.

Cenderahati anugerah untuk tokoh veteran lelaki telah disampaikan perasmi Mesyuarat Agung pada malam tersebut iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Ahli Parlimen Parit Buntar.

Manakala Haminah diwakili oleh Masniah Yahya bagi menerima anugerah tersebut kerana keuzuran. Anugerah disampaikan oleh Harun Hashim, Yang Dipertua PAS Parit Buntar

Di dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Dr Mujahid menyeru supaya ahli-ahli PAS agar dapat mencontohi pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh ini yang bekerja keras bagi memastikan parti PAS terus berada di hadapan dan membantu parti untuk memenangi dalam pilihanraya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Abdul Baharin Desa, Timbalan YDP PAS, Ahmad Azhar Sharin, Naib YDP PAS serta penceramah jemputan Dato' Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani.




Pada malam tersebut lebih 3000 hadirin memenuhi ruang tempat ceramah bagi mendengar pendedahan eksklusif isu skandal seks serta kematian pegawai tinggi kastam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

No comments: