Saturday, April 16, 2011

Keputusan Pilihanraya Sarawak bukti rakyat Sarawak semakin berani untuk berubah

Baru Bian : Keputusan PRN Bukti Rakyat Sarawak Yakini Sistem Dua Parti


KUCHING 17 APRIL : Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri kali ke-10 ini pastinya memberi implikasi kepada Sabah dan tentunya Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum kelak.

Ini katanya terbukti melalui trend pengundian rakyat Sarawak yang mula membuka ruang kepada pembangkang seterusnya mula mendokong sistem dua parti yang selama ini cuba dinafikan oleh Umno-BN.

Malah ujarnya kejayaan Pakatan Rakyat merampas lapan kerusi daripada BN adalah satu petanda baik, perubahan sedang menular di Bumi Kenyalang.

Justeru mesej yang disampaikan Pakatan Rakyat dalam siri kempennya berjaya membuka minda rakyat Sarawak.

" Kemunculan sistem dua parti, petanda baik, bukti rakyat terima konsep sistem dua parti dan ini digambarkan dalam keputusan PRN Sarawak," kata Baru kepada pemberita malam tadi.

" Keputusan juga akan punyai implikasi penting kepada Sabah dan juga beri keyakinan kepada pengundi Semenanjung terhadap Pakatan Rakyat,"tambahnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan BN memperoleh 55 kerusi, hilang lapan kerusi berbanding 2006 dengan 63 kerusi.

DAP pula berjaya memenangi 12 kerusi daripada 15 kawasan yang ditandinginya.

DAP memperoleh 134,847 undi, manakala Parti Keadilan Rakyat pula berjaya merampas tiga kerusi dengan undi 117,100 undi.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi, manakala lainnya, SNAP, PAS, PCM tidak memenangi mana-mana kerusi.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan 71 calon hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 8 peratus pengundi di kawasan yang ditandingi.

Kajian segera yang dibuat penganalisis mendapati reputasi BN semakin menjunam dan cengkaman mereka ke atas Sarawak semakin longgar.

Sementara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam Twitternya malam tadi menulis, undi popular BN Sarawak telah merosot teruk dari 62.93 peratus kepada 55.24 peratus.

Menurut Baru, BN perlu sedar hakikat, bahawa Sarawak bukan lagi simpanan tetap buat mereka.

" Nampaknya simpanan tetap BN telah mula dikeluarkan melihat kepada keputusan PRN ini.

" Fokus kita sekarang ialah terhadap isu tanah, (saya) akan bawa isu dalam sidang DUN dari segi aspek perundangan dan dasar sedia ada. Ini akan jadi keutamaaan kita,"katanya yang akan mengangkat sumpah bila-bila masa sahaja sebagai ADUN Ba'kelalan.

Baru semalam memperoleh 2,505 undi berbanding calon BN dari SPDP yang memperoleh 2,032 undi.

Meskipun menang tipis dengan hanya 475 undi, laluan Baru untuk calon PKR itu berhadapan rintangan besar apabila dikatakan berlakunya proses pembelian undi yang begitu hebat di kawasan berkenaan.

DUN Ba'kelalan mempunyai 6,958 pemilih berdaftar.

Pengundi di DUN ini terdiri daripada Melayu/Melanau 2.72 peratus, Cina 3.29 peratus, Iban 4.05 peratus, Bidayuh 0.26 peratus, Orang Ulu 89.67 peratus dan lain-lain 0.01 peratus.

No comments: