Tuesday, May 3, 2011

Karnival Cakna Rakyat PAS Parit Buntar erat hubungan PAS dan penduduk






PARIT BUNTAR, 3 Mei : Pelbagai acara disusun sepanjang hari sempena Karnival Cakna Rakyat PAS Parit Buntar yang diadakan di perkarangan Masjid Parit Haji Wahab dekat sini khusus untuk penduduk tempatan.

Setiausaha Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, pelbagai pertandingan dan khidmat kesihatan disediakan sepanjang program tersebut yang bermula awal pagi sehingga lewat petang.


Menurutnya, ia diadakan bertujuan mengeratkan hubungan di antara penduduk setempat bersama pemimpin PAS Parit Buntar. Beliau berkata, peluang yang ada dalam setiap kawasan masing-masing seperti ini perlu dimanfaatkan oleh penduduk untuk saling berinteraksi di antara satu sama lain.


“Program ini diadakan khusus untuk penduduk setempat keluar beramai- ramai dan saling berinteraksi dalam suatu program tidak formal bersama jiran, rakan dan ahli keluarga masing- masing.


“Dalam masa yang sama juga penduduk dapat beramah mesra bersama pemimpin PAS yang hadir di samping bertemu pemimpin peringkat akar umbi dalam kawasan Parit Haji Wahab ini,” katanya.


Beliau berkata, program ini juga dapat memupuk semangat kerjasama di antara penduduk dan PAS Parit Buntar masing- masing melalui acara untuk pelbagai peringkat umur termasuk bagi golongan lelaki dewasa, wanita dan kanak- kanak.


" Acara dimulai dengan penyampaian sumbangan PAS Parit Buntar kepada 30 penduduk memerlukan diikuti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kapal terbang laju dan isi air dalam botol.


" Acara dewasa melibatkan boling kelapa, gusti lengan dan sepak gol kecil. Manakala acara lipatan, gubahan dan masakan disediakan untuk kaum wanita" katanya


Selain itu, khidmat kesihatan percuma juga diberikan kepada penduduk setempat disamping kaunter daftar pemilih dan jualan.


“Semua yang diaturkan sepanjang hari ini saya rasa mendapat sambutan menggalakkan daripada semua penduduk setempat dari pelbagai peringkat umur.


" Karnival Cakna Rakyat ini juga dimeriahkan dengan kehadiran Skuad Cakna Sinar Harian yang turut bersama menyertai pertandingan baling air dalam belon" katanya


Adnan merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS Cawangan Parit Haji Wahab Darat dan Skuad Cakna Sinar Harian yang bersama menjayakan program ini sepenuhnya sepanjang acara dijalan.






































No comments: