Monday, June 13, 2011

Dihalang memasuki Sarawak, Ambiga fail saman




KUALA LUMPUR 14 JUN : Ketua badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan memfailkan saman ke atas kerajaan Sarawak yang melarang beliau memasuki negeri itu pada pilihan raya negeri itu April lalu.

Menurut beliau, tindakan kerajaan negeri itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ya, sudah difailkan dan permohonan izin akan didengar pada 13 Julai,” ujar beliau dipetik dari portal The Malaysian Insider.

Ambiga telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 15 April lalu, tetapi tidak diberikan sebarang sebab.

Beliau tiba di lapangan terbang untuk memantau pilihan raya negeri yang diadakan pada keesokan hari.

Selain beliau, ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah juga turut ditahan dari memasuki negeri itu pada Mac lalu.

Sivarasa ketika itu mendarat di Lapangan Terbang Kuching bersama-sama exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar untuk menghadiri konvensyen PKR sebelum ditahan di kaunter imigresen kerana didakwa ada masalah.

Bagaimanapun, Xavier, isteri beliau dan seorang pembantu dibenarkan masuk.

Kes sama turut berlaku ke atas Ambiga apabila hanya beliau sahaja yang tidak dibenarkan masuk.

Bekas presiden Majlis Peguam itu telah pergi ke negeri tersebut bersama dua ahli jawatankuasa Bersih 2.0 iaitu Subramaniam Pillay, yang juga seorang anggota Aliran dan Arul Prakash, pegawai program KOMAS serta Ivy Josiah, pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation.

Bersih 2.0 telah menuntut Suhakam agar menyiasat elemen salah guna kuasa oleh Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa negeri.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak paling lama berkuasa, sehingga kini tidak memberikan respons kepada kritikan mengenai isu itu manakala Putrajaya pula mempertahankan sikap bisu mereka berhubung kebebasan rakyat Malaysia untuk bergerak bebas dalam persekutuan.

Sarawak dan Sabah boleh melarang mana-mana pihak memasuki negeri itu termasuk rakyat Malaysia sendiri di bawah perjanjian pembentukan Malaysia 1963 tetapi dikehendaki memberikan alasan untuk berbuat demikian.

No comments: