Monday, June 13, 2011

"Saya terpaksa jual banglo harga murah RM 3.5 juta pada Khir Toyo"



SHAH ALAM 13 JUN : Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia menjual banglo dan dua bidang tanah kepada bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo pada harga RM3.5 juta meskipun ia dibeli dengan harga RM6.5 juta, kerana bimbang dengan nasib perniagaannya di Selangor.

Shamsuddin yang menyambung keterangan hari ini berkata, Khir telah menolak tawarannya untuk membeli banglo miliknya, di Shah Alam dengan harga RM5 juta hingga RM5.5 juta, sebaliknya hanya mahu membeli rumah itu dengan harga RM3.5 juta sahaja.

Beliau yang bimbang perniagaannya disabotaj jika enggan menurut kehendak Khir, akhirnya bersetuju menjual bonglo mewah itu pada harga yang diminta Khir.

“Kami ada pernigaaan di Selangor dan bekas menteri besar mahu beli rumah saya dengan harga RM3.5 juta.

“Jadi, kami bersetuju. Saya risau kedudukan saya sebagai ahli perniagaan dan saya bimbang bisnes saya akan tergugat,” katanya.

Shamsuddin berkata banglo itu dibeli atas nama syarikat Ditamas Sdn Bhd bagi memudahkan urusan pinjaman denan pihak institusi kewangan. Rumah tersebut dibeli daripada pemilik asal, Saiful Aznil Sahabuddin pada 23 Disember 2004. Pembelian tersebut melibatkan dua kawasan iaitu Lot 8 dan 10 di Seksyen 7 di sini melibatkan tanah dan rumah kediaman bernilai RM6.5 juta.

Beliau tatkala itu yakin bahawa Khir akan membeli banglo itu daripadanya. Namun beliau kecewa apabila Khir enggan membeli rumah tersebut pada harga yang ditetapkannya.

Selepas berbincang dengan isterinya, Shamsuddin akhirnya akur untuk menjual banglo tersebut pada harga RM3.5 juta sahaja.

Proses jual beli itu berlangsung pada pada 2007 antara Ditamas dan Khir yang diwakili Akma and Co.

Shamsuddin kemudiannya memberitahu proses pengubahsuaian banglo itu mula dibuat pada pertengah 2006 dan Khir melantik pereka dalaman pilihannya sendiri, Nasir Ismail meskipun banglo tersebut tatkala itu masih milik Ditamas Sdn Bhd.

Pendedahan Shamsuddin itu menyokong kenyataan Nasir Ismail sebelum ini yang mengaku menerima sejumlah R6 juta ringgit untuk kerja- kerja pengubahsuaian terbabit.

Namun peguambela, M. Athimulan mencadangkan Nasir sebagai berbohong berikutan tiada sebarang dokumentasi yang menunjukkan Khir membayar sehingga RM6 juta ringgit kepada Nasir.

Athimulan mengasak dengan mengatakan perjanjian bernilai RM1.5 juta, yang ditandatangani Nasir dan Khir menunjukkan kerja- kerja pengubahsuaian itu hanya berlaku pada Mei 2007 dan bukan sebelumnya.

Nasir sekali lagi menegaskan kerja- kerja pengubahsuaian itu berlaku pada tahun 2006 dan transaksi pembayaran sebelum ini tidak direkodkan atas permintaan Khir sendiri.

Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd.

Sebagai balasan, Khir dituduh menggunakan kedudukan sebagai Menteri Besar untuk memperolehi pelbagai projek bagi Ditamas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan.

Perbicaraan akan disambung semula pagi esok.

No comments: