Tuesday, June 14, 2011

Pemansuhan subsidi diesel bebankan nelayan

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/DSC_0036.jpg?t=1279627495PARIT BUNTAR, 14 Jun : Keputusan kerajaan memansuhkan diesel super subsidi telah memberi kesan kepada peningkatan kos kepada nelayan kata Pengerusi Lujnah Petani dan Nelayan PAS Parit Buntar, Raduan Razak.

Beliau mengulas tindakan lebih 1,000 nelayan laut di beberapa buah negeri melancarkan mogok sekali gus bakal menjejaskan bekalan ikan negara jika tindakan tersebut berlarutan.

“ Nelayan terpaksa membeli bahan api itu pada harga RM1.80 seliter berbanding RM1.25 seliter sebelum ini.

“ Pemansuhan subsidi itu menyebabkan nelayan terpaksa menanggung kenaikan kos melebihi RM20,000 sebulan berbanding RM7,000 sebulan sebelum ini” katanya

Raduan bersimpati dengan bersimpati dengan nasib nelayan dan berharap kerajaan mengkaji semula pemansuhan subsidi ini.

“ Saya ada mendengar ada nelayan yang terpaksa menganggur kerana majikan mereka tidak mampu menanggung kos diesel yang meningkat .

“ Harga hasil laut terutama ikan juga akan meningkat dengan mendadak berikutan kenaikan kos nelayan, ditambah pula dengan tindakan mogok ini” katanya

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad (gambar) berkata turut menerima aduan daripada nelayan di Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Bagan Tiang.

“ Kami menerima aduan dari nelayan yang terpaksa menangung kos yang tinggi akibat pemansuhan subsidi diesel ini.

“ Kerajaan sepatutnya memikirkan nasib nelayan terutama yang bekerja dengan majikan pengusaha bot laut dalam “ katanya

Menurut Hamdan, keputusan menarik balik subsidi tersebut kepada nelayan laut dalam juga akan mengakibatkan berlaku kenaikan harga terhadap hasil dan makanan laut.

“ Bukan sahaja nelayan laut dalam , malah saya turut difahamkan nelayan pesisir pantai di sesetengah tempat juga tidak lagi menikmati subsidi diesel.

“Sudah tentu pemansuhan subsidi diesel ini akan menyebabkan berlaku kenaikan harga ikan yang bertambah parah,” ujarnya.

Tambah beliau, keputusan kerajaan pada masa sama memberi kesan bukan sahaja kepada nelayan tetapi rakyat keseluruhannya kerana ikan adalah makanan protein rakyat Malaysia.

No comments: