Tuesday, June 14, 2011

Saya bukan pemimpin fanatik parti pertahan pemimpin rekod buruk - Anwar

http://3.bp.blogspot.com/_6IMV4RX7E_Y/SQdoHyKmrdI/AAAAAAAAAcw/P2bb4f0u-p4/S281/AP_Malaysia_Anwar_Ibrahim_210.jpgALOR SETAR - Mana-mana pemimpin yang tidak beretika dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan diberi tempat dalam parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk mengekalkan rekod bersih pemimpin Pakatan Rakyat (PR), mana-mana pemimpin yang didapati melakukan penyelewengan akan diambil tindakan.

“Saya tidak mahu kredibiliti pemimpin kita tercalar, terutama wakil rakyat PKR di Kedah.

"Saya harap setiap pemimpin ambil iktibar daripada keputusan tegas kita terhadap bekas pemimpin sebelum ini yang dikenakan tindakan ekoran melakukan pelbagai kesilapan,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 2000 hadirin yang hadir mendengar ceramah anjuran PKR Kedah dalam lawatan kerja sehari ke Kedah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Anwar turut menegaskan beliau bukannya seorang pemimpin atau ketua yang fanatik terhadap parti sehingga akan mempertahankan pemimpin yang mempunyai rekod yang buruk.

“Sebagai ketua saya akan ingatkan pemimpin bawahan bahawa kita telah berjanji pada rakyat mengatakan kerajaan PR terikat pada prinsip, antaranya tolak rasuah dan tidak rompak harta rakyat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemimpin yang melanggar ikrar parti bagi memastikan kemenangan berpihak pada PR dalam PRU akan datang.

“Saya ingin nasihatkan pemimpin parti dan rakan-rakan supaya jangan ambil mudah perkara ini.

"Jika anda mahu terus bersama parti ini, anda hendaklah mengikut peraturan sedia ada dan patuh agenda yang digariskan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak menimbulkan ‘perkara’ tidak diingini serta membuat tuntutan tidak munasabah, terutama menjelang PRU.SH

No comments: