Thursday, June 16, 2011

Pemuda PAS hantar memorandum bantahan kepada Utusan


KUALA LUMPUR 17 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari menyerahkan memorandum bantahan terhadap akhbar Utusan Malaysia mengenai penyiaran kartun yang dikatakan menghina sensitiviti Islam yang disiarkan minggu ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi memberitahu media betapa kartun itu mempersendakan hukum Islam di negara ini dan bakal memberi kesinambungan buruk mengenai persepsi masyarakat terhadap agama ini.

"Dalam hal ini saya lihat (kartun itu) mempersendakan hukum Islam, mempermainkan institusi Islam negara ini dan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam di negara ini bahawa tokoh agama tidak dapat menyelesaikan kes zina dan rogol negara ini, " tegas beliau kepada media di hadapan pejabat utusan hari ini.

Nasrudin bersama hampir sepuluh delegasi PAS muncul di pejabat Utusan kira-kira jam 9.30 pagi tadi dengan aman walaupun berhadapan dengan hampir 50 polis yang 'berjaga' di hadapan pejabat Utusan sejak jam 8.45 pagi lagi.

Menurut Nasrudin, memorandum telah diterima oleh Wakil Jabatan Pengarang yang juga Ketua Meja Jenayah Utusan, Suffian Abu Bakar yang berjanji untuk menyerahkan memorandum itu kepada peringkat lebih tinggi.

Pada 15 Jun lalu, Utusan telah menyiarkan satu kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang menggambarkan seorang wanita yang mengadu dirogol tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap perogolnya kerana hanya mempunyai bukti video ketika membuat laporan dengan jabatan agama.

Menurut Nasrudin, hal ini disebabkan kekeliruan pelukis dan pengarang Utusan berkenaan perkara ini.

"Saya rasa dia keliru. Kes rogol dengan kes zina peruntukannya berbeza dalam Islam," terang Nasrudin lagi.

Justeru Nasrudin memberi tempoh 7 hari kepada Utusan untuk meminta maaf, mengambil tindakan dan memohon maaf terhadap perkara ini.

Jika tidak, Nasrudin menyatakan hasrat untuk meneruskan siri bantahan dan mengadakan perhimpunan yang lebih besar untuk mengutuk insiden ini.

"Saya memberi masa 7 hari agar utusan memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur berkenaan," katanya.

"Saya harap jangan diperkecilkan perkara ini dan mempersendakan dan merendahkan hukum Islam," tambahnya lagi.

No comments: