Tuesday, August 9, 2011

Kematian Baharudin : Keluarga tuntut inkues

http://media1-cdn.malaysiakini.com/386/a96a2cd5244e8c054016a944bb3d308b.jpgKUALA LUMPUR 9 OGOS : Keluarga kepada allahyarham Baharudin Ahmad memfailkan satu notis usul di Mahkamah Tinggi hari ini bagi memaksa Pejabat Peguam Negara menjalankan inkues terhadap kematian lelaki berkenaan.

Permohonan siasatan khas itu dibuat susulan kepada laporan polis yang dibuat oleh balu mangsa berkenaan, Rosni Malan pada 17 Julai lalu yang mendakwa bahawa kematian Ahmad disebabkan oleh tindakan polis semasa perhimpunan berkenaan.

Turut dikemukakan dalam notis usul berkenaan ialah akuan bersumpah daripada seorang anak mangsa berhubung laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur ke atas jenazah mangsa tersebut.

Difahamkan, keluarga berkenaan hanya menerima laporan bedah siasat bertarikh 15 Julai itu pada 3 Ogos.

Atas sebab tersebut, keluarga mangsa berkenaan mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan polis pada 10 Julai berhubung sebab kematian allahyarham Baharudin.

Polis memberitahu bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung sedangkan hasil bedah siasat masih belum diperolehi, kata peguam Ahmad Jufliz Faiza ketika dihubungi Malaysiakini.

Anak perempuan Baharudin, Ummi Mirza dalam akuan bersumpahnya menyebut bahawa sebab kematian tersebut bukanlah sebab-sebab nyata yang ditentukan melalui siasatan terhadap jenazah ayahnya.

Sebaliknya, sebab kematian itu perlu meliputi "semua perkara yang perlu untuk membolehkan sesuatu pendapat dibuat (mengenai) bagaimana ayah saya menemui ajalnya."

Katanya lagi, sebab kematian itu boleh "disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan atau (perbuatan yang tidak dibuat) yang menyalahi undang-undang" oleh mana-mana individu, kumpulan atau ejen kepada mana-mana badan.

Laporan 'bercanggah'

Akuan bersumpah berkenaan mendakwa, laporan perubatan yang diperolehi oleh keluarkan mangsa berkenaan mengandungi maklumat yang bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh doktor yang memeriksa jenazah sebelum ini.

Laporan yang menyebut sebab kematian Ahmad sebagai serangan jantung "acute myocardial infarction" itu antara lain menyatakan bahawa bahagian paru-paru mangsa didapati tersumbat.

Walhal, beliau sebelum ini diberitahu bahawa bahagian paru-paru itu tidak tersumbat, kata Ummi Mirza lagi.

"Saya diberitahu oleh pakar forensik tersebut sebelum ini bahawa 'paru-paru kelihatan sihat', namun laporan bedah siasat menyatakan 'sangat bengkak dan tersumbat'," akuan bersumpah itu dipetik.

Ummi Mirza dalam dokumen yang diperakui semalam itu juga menyebut bahawa beliau melihat tanda gigi di sebelah kira atas bibir dan juga lebam di sekeliling kawasan tersebut.

Katanya, beliau diberitahu oleh pakar berkenaan bahawa bahagian trakea jenazah ayahnya itu juga sedikit tersumbat.

Beliau diberitahu bahawa keadaan itu mungkin berlaku akibat tindakan memasukkan tiub ke dalam rongga berkenaan.

"Tapi laporan bedah siasat menyatakan (bahagian trakea itu 'jelas dan tidak tersumbat'," kata Ummi lagi dalam dokumen berkenaan.

Tambahnya, laporan yang diperolehi itu menyatakan bahawa bahagian mulut mangsa tidak mengeluarkan cecair.

"Namun berbeza dengan apa yang saya nampak pada bibir arwah sebelum post mortem. Malah pada saat memandikan jenazah beliau, saya juga masih dapat melihat lebam pada bibir tersebut," kata Ummi lagi dalam dokumen sama.

Baharudin, 59, didakwa rebah semasa menyertai perhimpunan di perkarangan KLCC pada 9 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke jabatan kecemasan, Hospital Kuala Lumpur pada petang tersebut.

Difahamkan, bedah siasat dijalankan ke atasnya kira-kira enam jam kemudian oleh dua orang ahli patologi.-Malaysiakini

No comments: