Wednesday, August 3, 2011

PAS beri sumbangan imarah masjid dan surau di Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 3 Ogos : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa supaya masjid dan surau di kawasan Parlimen Parit Buntar diimarahkan sempena menyambut Ramadhan tahun ini.

Beliau meminta supaya pintu masjid dan surau dibuka seluas-luasnya agar umat Islam dapat melakukan ibadat di rumah Allah ini.


"Jadikan masjid dan surau sebagai pusat tumpuan ibadah sepanjang Ramadhan ini. Galakkan kaum keluarga seramai mungkin mengunjungi rumah Allah ini untuk berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus, berzikir dan bermunajat kepada Allah SWT.

"Jangan sempitkan ruang masjid hanya untuk bersolat sahaja sebaliknya banyak ibadah yang boleh dilakukan sepanjang Ramadhan ini." katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Imarah Masjid dan Surau Parlimen Parit Buntar di Masjid Mahyuddin, Batu Lima di sini.


Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, DUN Titi Serong dan PAS Kawasan Parit Buntar ini menyampaikan sumbangan kepada seluruh masjid dan surau di Parlimen Parit Buntar.

Wakil dari 26 masjid dan 113 surau terdapat dalam parlimen ini hadir menerima sumbangan untuk mengimarahkan masjid dan surau masing-masing.

Turut hadir memberikan ucapan dan menyampaikan sumbangan adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain, Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Hashim dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infaq Ramadhan PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata
sumbangan untuk dana infaq Ramadhan PAS Parit Buntar ini masih dibuka kepada orang ramai.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat bernombor (0801-0000839-71-1) atas nama Jawatankuasa Dana JPR Parit Buntar .

No comments: