Wednesday, August 3, 2011

Selangor di bawah PR , tiada defisit belanjawan

Aziz Muda

SHAH ALAM – Selepas tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah, Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dalam menguruskan perbelanjaan apabila masih mempunyai lebihan RM200 juta.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dengan lebihan RM200 juta itu sekaligus membuktikan bahawa Selangor tidak mengalami belanjawan defisit seperti anggapan sesetengah pihak.

“Dengan lebihan RM200 juta itu, kita akan membelanjakan yang ada itu mengikut keperluan demi kepentingan rakyat.

“Selangor tiada defisit belanjawan dan kita tidak perlu meminjam. Kita guna apa yang ada dan belanja,” katanya.

Menurutnya, strategi pengurusan perbelanjaan Kerajaan Negeri sehingga negeri itu tidak mengalami sebarang defisit ialah membelanjakan keuntungan syarikat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat.

“Selain daripada hasil kita terima, kita juga sudah membelanjakan keuntungan syarikat Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, syarikat pasir mendapat keuntungan RM30 juta hingga RM40 juta setahun.

“Saya menggunakan RM10 juta daripada hasil tersebut untuk diagihkan kepada warga emas di Selangor bagi meringankan beban mereka dalam ‘Program Jom Shopping’,” katanya.

Khalid turut menasihati Kerajaan Persekutuan agar mencontohi pentadbirannya jika ingin mengurangkan kadar defisit perbelanjaan.

“Saya melihat Kerajaan Persekutuan mula hendak meniru cara Kerajaan Selangor menguruskan perbelanjaan dengan tiada defisit.

“Saya menasihatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak menggunakan hasil cukai untuk merealisasikan matlamat tersebut. Gunakanlah hasil keuntungan syarikat kerajaan, bajet perbelanjaan kerana perbelanjaan Kerajaan Persekutuan banyak defisit,” katanya.SH

No comments: