Monday, October 17, 2011

HUTANG NEGARA RM 437.2 BILION !!! Bila Najib nak lunaskan?

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

http://1.bp.blogspot.com/_xCW4Jfa-SWE/TVVqRd4MVrI/AAAAAAAALrg/0VkmSiMeQsw/s400/najib-tun-abdul-razak.jpgMENURUT Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah mudah untuk membuat janji dengan wang yang kita tidak miliki, apabila kita bukan kerajaan dan selagi kita boleh memengani pilihan raya (dibaca sebagai umpan pilihan raya umum).

Komen tersebut yang dibuat oleh mantan PM dan juga mantan Menteri Kewangan adalah antara reaksi kem Umno-BN sebaik sahaja Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan (bayangan) bagi tahun fiskal 2012.

Tidak dapat dipastikan sekiranya Dr. Mahathir sudah terlupa tentang apa yang disebut sebagai strategi politik. Buat apa bentuk parti politik atau pakatan politik kalau matlamatnya bukan untuk memenangi pilihan raya.

Lebih baik buat persatuan kuntau, atau persatuan peniaga putu piring sahaja. Mustahillah perkara seasas ini tentang politik Dr Mahathir dah lupa.

Tak apalah. Kita lupakan sahaja tentang Dr Mahathir. Dia pun suka cakap tentang hal lupalupa ini. Dia pernah kata ‘Melayu mudah lupa’. Mungkin yang dimaksudkan ialah Melayu Umno.

Tapi dia jangan lupa, Melayu di luar Umno tak mudah lupa.

Mana dia Wawasan 2020? Mana dia Islam Hadhari? Mana dia ‘Look East Policy’. Sekali air bah sekali pantai berubah, sekali PM berubah sekali dasar berubah.

Apapun adalah diharapkan beliau tidak lupa betapa menjanjikan sesuatu (walaupun sumbernya belum diperolehi) adalah lebih mulia daripada berjanji dan kemudian berbohong dan gagal menunaikan janji.

Itu Dr Mahathirlah. Bagi Dato’ Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ceritanya lain pulak. Sebagai reaksi kepada Belanjawan itu, dia kata pemimpin Pakatan Rakyat tak faham apa dia subsidi. Eh betulke ni? Betulkah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng dan lain-lain tak faham apa itu yang dikatakan subsidi kerajaan?

Kasihan jugak dengan Noh. Dia pun nak tumpang hentam pembangkang tapi tak kena cara. Masakanlah pemimpin pembangkang tak tahu apa itu subsidi. Pesawah di Tanjung Karang pun tahu apa dia subsidi. Cuba tarik subsidi baja dan tengok jika mereka tak menjerit.

Kalau mereka tak faham tentu mereka tak menjerit. Ini simple logiclah. So janganlah bagi hujah kebudak-budakkan. Bukan apa, yang rugi Umno jugak nanti. Kita pun tak mahu tengok di Parlimen nanti tak ada satupun kerusi pembangkang daripada kalangan Umno. ‘Boring’ nanti Dewan Rakyat.

Membaca komen Noh Omar ini, mengingatkan perihal seorang sahabat zaman persekolahan. Sesudah begitu lama bermastautin di Wellington, New Zealand dan bertugas sebagai seorang rakan senior dalam salah sebuah firma perkauman The Big Five (lima firma perkaunan terbesar di dunia), dia pulang bercuti ke Malaysia.

Terkejut beruk dia melihat pembangunan fizikal yang sedang berlaku di mana-mana terutama di Kuala Lumpur. “Sudahkah Malaysia menjadi negara maju?” tanyanya tatkala bersiarsiar dan mengambil foto di sekitar KLCC

“Macam nilah,” jelas saya kepada anak pengusaha kedai dobi kecil di bandar tempat saya lahir dan dibesarkan di selatan tanah air,“Bayangkan anda belanjakan wang anda untuk membeli pakaian jenama Polo Ralph Laurent asli, bermegahmegah dengan barangan peribadi mahal-mahal sedangkan isteri dan anak anda di rumah cuma makan nasi dengan ikan kembong goreng setiap hari. More forms than substance.”

Apa yang dimaksudkan ialah orang nampak kita mewah dengan pelbagai infrastruktur.

Kerajaan BN bermegah kerana boleh buat itu dan ini dan rakyat boleh bermegah dengan itu dan ini yang dibuat oleh kerajaan BN.

Tapi tengok apa sudah jadi. “Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion… 53% daripada KDNK negara. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% daripada KDNK Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.”

Itulah yang sudah jadi. Mana tak banyak hutang, nak beli susu anak tenyeh kad kredit, nak beli keperluan makanan harian di pasar raya pun terpaksa tenyeh kad kredit. Bila jumlah hutang kad kredit sudah tak tertanggung, buat pula pinjaman peribadi.

“Macam mana ini boleh berlaku,” tanya sahabat itu. Jawab saya, “Pendapatan sebenar menurun (setelah mengambil kira penurunan kuasa belian ringgit dari tahun ke tahun, inflasi, dan kenaikan indeks pengguna), tak ada barangan keperluan asas yang tak naik.

Dulu minum teh tarik kat warung mamak, cuma 70 sen, sekarang sudah ada yang RM1.80. Subsidi pula ditarik balik sedikit demi sedikit. Duit yang ada digunakan untuk buat projek mewah supaya BN boleh megah.

Nak cerita wang bagi kat kroni, tak payahlah. Itu cerita lain.”

Bila agaknya Dr Mahathir nak suruh Perdana Menteri sekarang berjanji untuk melunaskan hutang kerajaan? Apa pulak cadangan Noh Omar tentang hutang peribadi rakyat?

Jangan pandai komen sahaja. Buatlah. Bukankah kuasa masih ada di tangan. Buktikan anda semua bukan sekadar pandai bercakap.

Hutang negara berjumlah RM437.2 bilion

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 berjumlah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan merupakan hutang dalam negeri yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang, manakala baki RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.

Dengan jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang luar negara mengikut negara yang memberi pinjaman kepada Malaysia.

Jawapan itu juga memberitahu sumber hutang, pinjaman dalam negeri diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan SOCSO.

Dalam pada itu hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Eura, Dolar Kanada serta Dinar.

No comments: