Thursday, March 18, 2010

Nasib warga emas jadi perhatian PR

JALAN KEBUN , 18 Mac : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mempunyai dasar untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu, bertoleransi dan saling membantu untuk menjamin kesejahteraan masyarakat.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan akan mewujudkan masyarakat yang mengamalkan nilai penyayang dan bertimbang rasa terutama kepada golongan warga emas.

Menurutnya, dengan mengamalkan nilai berkenaan iaitu kebajikan rakyat berteras kepada sistem kekeluargaan yang mantap, warga emas pasti mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak.

“Warga tua yang juga sebahagian daripada ahli masyarakat dan diakui mempunyai banyak pengalaman serta kemahiran yang boleh digunakan oleh generasi kini.

“Malah mereka (warga emas) banyak memberi sumbangan dan masih mempunyai potensi menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan kemajuan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada beberapa rumah yang mempunyai warga emas, di sini.

Dr Mariah berkata, warga emas wajar mendapat perhatian, penghormatan dan kasih sayang bagi memastikan menikmati kesejahteraan hidup sepanjang hayat.

Menurutnya, aktiviti turun padang untuk membantu permasalahan rakyat termasuk kebajikan warga emas akan dilakukan tanpa mengira masa membabitkan pemimpin tempatan yang lain.

“Apa yang dilakukan ini, secara tidak langsung dapat memajukan potensi warga tua agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan setempat seterusnya memberi sumbangan kepada negeri,” katanya.SH

No comments: