Thursday, March 18, 2010

PAS ucap tahniah kepada Orang Asli


KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada Orang Asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya semalam kerana menuntut hak mereka yang dicabul.

Katanya, penghormatan patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai 2,000 orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.

Perhimpunan semalam dianjurkan bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

“Nampaknya Orang Asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN,” ujar Idris dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan itu berkata: Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.

Katanya, kejayaan Orang Asli yang mengumpulkan hampir 2,000 orang ke Putrajaya satu perkembangan yang baik.

“Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti Orang Asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalan raya,” ujarnya.

Selama ini, katanya Orang Asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan.

“Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insya Allah,” ujarnya lagi.Hrkh

No comments: