Thursday, June 10, 2010

Jangan main tarik tali isu judi bola












IPOH , 11 Jun : Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mahu penjelasan mengenai kontroversi isu judi bola yang semakin serius diperkatakan didedahkan supaya tidak mengelirukan rakyat.

“Kita mohon agar perkara ini diberikan penjelasan yang sewajarnya agar rakyat dalam negara dapat mengetahui perkara yang sebenar dan jangan bermain tarik tali,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan Pusat masih belum memberikan lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd maka tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak tertentu.

Pihaknya turut menggesa Securities Commission Malaysia dan Bursa Malaysia mengheret Vincent Tan ke mahkamah kerana telah menimbulkan kontroversi yang mengelirukan pasaran saham.

Beliau berkata, Vincent, dalam satu kenyataannya mengumumkan lesen judi sukan berkenaan telah diberikan kepada Ascot Sports sejak dua minggu yang lepas, dan operasi judi ini akan bermula pada bulan September.

“Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, Berjaya Corporation Bhd menyatakan, Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

“Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di Parlimen baru-baru ini menyatakan lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka namun persoalannya pihak manakah yang bercakap benar,” katanya kepada Sinar Harian.

Boon Chye berkata, kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan Berjaya Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya bercakap benar berhubung perkara berkenaan.

“Ini adalah jawapan yang mengejutkan kerana sejak seminggu lalu, Vincent bercakap seolah-olah dia telah memiliki lesen itu ataupun sebaliknya.

“Saya juga turut mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang mengubah pendiriannya kerana gusar dengan kemarahan rakyat ataupun mungkin Vincent tidak bercakap benar dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, jika berpegang kepada apa yang diumumkan oleh kerajaan mengapakah selama dua minggu ini tidak ada pihak daripada kerajaan menafikan perkara tersebut.

“Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heong pernah membela pendirian Vincent, jadi apa pun yang berlaku mestilah diperjelaskan kepada rakyat,” katanya SH

No comments: