Wednesday, July 21, 2010

Cipta alasan bohong keluar parti


MACHANG BUBOK, 21 Julai : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Tan Hock Leong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan beliau tidak pernah meninjau kawasan dalam Ranting Jalan Permatang Tinggi sejak lebih dua tahun menjadi ADUN di sana, seperti yang dikatakan bekas Naib Ketua ranting, Ismail Md Ali, kelmarin.

Isu itu dijadikan alasan sehingga Ismail dan pengikutnya dalam ranting bertindak keluar parti dan menyertai UMNO, Ahad lalu.


Tan Hock Leong berkata, beliau sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin dan berlaku adil di semua kawasan selepas dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Beliau sedikit terkilan apabila pihak berkenaan dikatakan melemparkan dakwaan tidak berasas yang sedikit sebanyak mencalarkan imejnya sebagai ADUN.

“Siapa kata saya tidak pernah melawat Ranting Jalan Permatang Tinggi. Saya punya bukti untuk menangkis semua tuduhan tidak berasas itu. Pelbagai aktiviti dan juga bantuan telah pun disalurkan kepada penduduk.

“Pada 2 Julai lalu juga saya ada turun ke Kampung Kijang ketika mereka mengadakan gotong-royong besar-besaran. Di sana, saya memberikan peruntukan membaiki jalan selain melawat ke rumah orang sakit dan susah, “ katanya.

Hock Leong berkata, selain itu longkang sepanjang 180 meter juga dibina di kampung itu bagi mengurangkan masalah banjir dan sangkar batu bagi mengelak hakisan sungai.

“Itu masih dikatakan tidak ambil tahu hal orang kampung, saya hairan bagaimana mereka boleh berkata demikian. Mungkin mereka maksudkan saya tidak ‘turun ke padang’. Ya, kerana Kampung Kijang memang tiada padang,” katanya.



Belum terima surat letak jawatan




Hock Leong mendakwa, tidak lebih dari 10 ahli sahaja yang keluar parti pada majlis pembubaran ranting Ahad lalu, bukan 56 seperti yang didakwa mereka.


Menurutnya, surat peletakan jawatan juga masih belum diterima daripada mereka setakat ini. Namun, perpindahan mereka ke parti lawan dialu-alukan dan sedikit pun tidak memberi kesan ke atas parti dan ranting.

“Tindakan mereka membubarkan ranting juga tidak sah kerana tidak berhak untuk membuat pembubaran dan bukan semua ahli ranting mengikut jejak langkah mereka, “ katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membuat pemilihan semula jawatankuasa ranting dalam tempoh seminggu.

Mengenai bekas Ketua Ranting, Shafie Ali, Hock Leong berkata, Shafie bukan sahaja seorang ketua ranting, tetapi juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Bukit Mertajam.

Sepanjang tempoh menjadi ketua, Shafie dikatakan tidak pernah menunjukkan komitmen yang baik dalam ranting.

Selain itu, Shafie juga didakwa tidak menghadiri mesyuarat cabang dan aktiviti kampung setiap kali ia diadakan.

“Jika penduduk meminta bantuan, seharusnya sebagai ketua beliau (Shafie) perlu mengambil segala butiran dan berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Mengapa dia tidak berbuat demikian dan menyalahkan orang lain pula yang tidak melaksanakan tanggungjawab. JKKK Alma-Bukit Minyak sememangnya salah satu JKKK yang aktif dalam kawasan Machang Bubok. Jadi, di sini siapa yang tidak buat kerja,” katanya ketika ditemui di pusat khidmatnya, di sini.

Beliau mendakwa, ia secara jelas menunjukkan perpindahan mereka bermotif politik dan ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kekecewaan mereka itu.

Namun, Hock Leong enggan membuat sebarang tuduhan kerana tidak mempunyai bukti dan membiarkan penduduk membuat keputusan.

Ketika ini, beliau juga sedang berbincang bersama peguam bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam membuat dakwaan palsu ke atasnya.

Terdahulu Sinar Harian siaran 20 Julai melaporkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Jalan Permatang Tinggi, bubar setelah 56 ahlinya mengambil keputusan menyertai UMNO.

Majlis penyerahan borang keahlian UMNO diserahkan bekas Ketua PKR Ranting Jalan Permatang Tinggi, Shafie Ali kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.



Tuduhan tidak berasas




AJK Ranting, Mustafa Osman berkata, semua tuduhan yang dilemparkan ke atas Hock Leong adalah tidak berasas.


Menurutnya, pelantikan Shafie sebagai ketua ketika ranting ditubuhkan pada 15 November 2009 diatur sendiri beliau dan pengikutnya tanpa mesyuarat serta pemilihan mengikut cara yang betul.

“Selama ini mereka berada dalam ranting hanya untuk kuasa, bukan niat ingin berkhidmat secara ikhlas. Saya rasa marah dengan tindakan yang dibuat, rasa terkejut kerana mereka tiba-tiba keluar tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

“Saya masih ahli dalam ranting, dan ramai lagi yang masih setia, mengapa mereka kata semua 56 ahli sudah keluar. Selama jadi ketua pun dia (Shafie) tidak pernah menyumbangkan apa-apa dan perpindahan dia serta pengikutnya juga tidak memberikan kesan,” katanya.

Seorang lagi ahli ranting, Zulkifli Omar berkata, sejak ranting ditubuhkan, hanya sekali mesyuarat diadakan. Jika ada mesyuarat lain, ahli lain termasuk dirinya tidak pernah dipanggil.

Justeru, dia kecewa apabila mereka tiba-tiba membuat kenyataan bahawa Hock Leong tidak pernah turun padang.

“Sebagai ahli dalam ranting, saya akan tetap setia menyokong ADUN dalam membantu penduduk. Mereka yang keluar ini hanyalah berkepentingan peribadi,” katanya.

Pengerusi JKKK Alma-Bukit Minyak, Mustafa Arifin berkata, tindakan mereka keluar parti adalah bermotifkan politik untuk menjatuhkan imej PKR seterusnya mengambil alih kuasa di Bukit Mertajam.

Menurutnya, ia juga merupakan propaganda dari segi psikologi yang dibuat untuk memberitahu rakyat PKR sudah lemah.

“Ini semua hanya mainan politik. PKR masih kukuh, dan perbuatan mereka ini langsung tidak melemahkan ahli. Sebaliknya, kesetiaan ahli kepada parti akan lebih kuat dan kami semua akan setia menyokong dan berada di belakang Yang Berhormat (Hock Leong), ” katanya.SH

No comments: